27.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, December 10, 2023

Belanjawan Sarawak 2024: RM32.5 juta bagi inisiatif pendidikan

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK RM32.5 juta diperuntukkan bagi dua inisiatif baharu di bawah Belanjawan Sarawak 2024 untuk membantu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang kurang berkemampuan.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu ialah pemberian baucer buku RM500 seorang kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Jelasnya, penerima mestilah daripada keluarga dengan pendapatan isi rumah per kapita RM1,500 sebulan dan ke bawah.

“Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada 35,000 pelajar universiti dan kolej.

“Sebanyak RM17.5 juta diperuntukkan bagi tujuan ini tahun depan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2024 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching hari ini.

Beliau berkata, peruntukan RM15 juta juga dicadangkan di bawah belanjawan itu bagi pemberian  komputer riba secara percuma kepada pelajar IPT awam dan swasta Sarawak daripada keluarga berpendapatan sama.

“Bantuan ini (komputer riba percuma) dijangka memberi manfaat kepada 5,000 pelajar dan memperkasakan pelajar kita dengan teknologi terkini yang mereka perlukan untuk cemerlang dalam akademik,” katanya.

Selain dua inisiatif berkenaan, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak juga akan terus membantu lepasan universiti dari negeri itu yang telah membayar semula 30 peratus atau lebih hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mereka.

Untuk itu katanya, RM30 juta diperuntukkan di bawah belanjawan berkenaan untuk membayar 30 peratus daripada baki pinjaman PTPTN yang tertunggak.

Inisiatif lain untuk program bantuan pendidikan di bawah belanjawan itu termasuk geran operasi sebanyak RM35 juta untuk Universiti Teknologi Sarawak, geran operasi RM5 juta untuk Kolej Laila Taib dan RM6 juta untuk Biasiswa Tunku Abdul Rahman. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini

Pasangan warga asing diberkas jadi ejen permit kerja haram

WARGA asing dipercayai suami isteri dan ejen sindiket memperbaharui permit kerja secara penipuan, ditahan menerusi Ops Serkap di sebuah...

Lagi Artikel Berkaitan