28.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 11, 2024

‘Terus Bersinar’ buah tangan terbaharu Hafiz Suip tentang anak

Mesti Baca

BAKAT besar yang dimiliki penyanyi Hafiz Suip membawa kerjaya seninya berada di puncak tertinggi.

Pelbagai pengiktirafan sudah diterima, sekali gus meletakkan namanya di liga tersendiri.

Bercakap soal lagu, mana mungkin peminat boleh melupakan lagu Awan Nano, Noktah Cinta, Ku Akui, Bahagiamu Deritaku, Kisah Cinta Kita dan banyak lagi.

Malah, deretan lagu yang sudah dihasilkan masih menjadi siulan peminat hingga kini.

Daripada hubungan bersama bapa, adik beradik, suami isteri hingga kekasih, mesej yang diketengahkan menerusi lagu yang dihasilkan cukup menyentuh hati.

Bukan bersifat peribadi, tapi Hafiz cuba menyelami perasaan semua terhadap insan yang dicintai.

Terbaharu, Hafiz atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 33, muncul dengan single terbaharu berjudul Terus Bersinar terbitan Nova Music.

Menariknya, ini adalah kerjasama pertama Hafiz bersama Mas Dewangga dan Jova Devito selaku komposer manakala lirik dihasilkan oleh Datuk Arisz Ab Rahman JP itu.

Hafiz berkata lagu Terus Bersinar bergenre balada itu membawa mesej untuk anak.

“Sepanjang kerjaya, saya sudah merakamkan lagu yang menceritakan mengenai lumrah kehidupan yang semua orang lalui.

“Contohnya, lirik lagu Matahari mengisahkan hubungan kesusahan adik-beradik. Lagu Awan Nano pula menceritakan pengorbanan seorang ayah manakala lagu Kisah Cinta Kita adalah terjemahan kasih sayang antara suami dan isteri. 

Advertisements

“Untuk lagu Terus Bersinar ini, mesej yang ingin disampaikan pula adalah mengenai anak.

“Boleh dikatakan, dalam karier saya setiap lagu ada jalan ceritanya yang tersendiri dan semua lagu itu juga ada kisah kehidupan yang mempunyai mesej,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Hafiz berkata dia terus jatuh cinta dengan lagu berkenaan ketika kali pertama mendengar melodinya.

“Lagu ini masih lagi bergenrekan balada. Cuma ada sedikit sentuhan alat muzik tradisional Sarawak iaitu Sape, itu pun pada penghujung lagu.

“Ketika pemilihan lagu ini, mendengar lagunya saya memang terus tertarik dengan melodi dan lirik.

“Itu yang membuatkan saya terus bersetuju untuk merakamkan lagu ini sebagai single terbaru saya.

“Jika dibaca setiap bait lirik lagu ini, memang sesuai ditafsir berkaitan anak. Saya percaya lagu ini nanti Insya-Allah mendapat tempat di hati pendengar.

“Begitu juga dengan video muzik lagu ini yang mana memang menceritakan mengenai ibu bapa yang menjaga dan membesarkan anak daripada kecil hingga besar. Pendek kata, anak itu ditatang bagai minyak penuh,” katanya.

Terus Bersinar turut dipilih menjadi lagu tema drama bersiri 30 episod terbitan Mache All Star United berjudul Surat Dari Tuhan yang akan bersiaran di slot Samarinda, TV3 mulai esok.

Single Terus Bersinar Hafiz Suip dipasarkan pada hari yang sama dengan tarikh mula siaran drama bersiri itu dan boleh mula distrim di semua perkhidmatan penstriman muzik bermula esok.

Video muzik rasmi juga boleh mula ditonton pada hari yang sama jam 3 petang di saluran YouTube Nova Music Videos. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Nambikkai seru pengundi Kuala Kubu Bharu undi PH

NAMBIKKAI Malaysia menyeru pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) untuk menyokong serta mengundi...

Lagi Artikel Berkaitan