SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan bilik gerakan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N67 Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sarawak.
SPRM menerusi kenyataan berkata, bilik gerakan tersebut membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa ketika kempen pilihan raya.
“Bilik gerakan PRK DUN Jepak beroperasi 24 jam mulai hari ini sehingga 4 November akan ditempatkan di SPRM Cawangan Bintulu, Wisma Persekutuan Fasa II, Bintulu.
“Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui emel kepada [email protected] atau menghubungi talian 086-316200,” katanya hari ini.
PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Iskandar Turkee; Stevenson Joseph Sumbang (Parti Bumi Kenyalang) dan Chieng Lea Phing (Parti Aspirasi Rakyat Sarawak).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon hari ini sehingga pukul 11.59 malam, 3 November.
Dalam pada itu, SPRM turut mengingatkan semua calon dan parti politik yang bertanding agar tidak melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh melanggar undang-undang.
“Semua calon dan parti politik terikat dengan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya. – Edisi 9