KESIHATAN Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli kini semakin stabil selepas menjalani rawatan jantung di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, beliau dimaklumkan Khamis lalu bahawa keadaan Ahli Parlimen Pandan semakin baik dan dijangka kembali bertugas dalam masa terdekat.
“Alhamdulillah, saya pun sudah dapat berita kelmarin bahawa beliau semakin sihat.
“Insya-Allah kita haraplah dalam masa terdekat akan kembali melaksanakan tugas. Doakan yang baik-baik,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) 2023 di ILKKM Sultan Azlan Shah di Tanjung Rambutan, Tambun, Perak, hari ini.
Beliau mengulas mengenai keadaan kesihatan Rafizi yang dilapor dirawat di PPUM selepas mengalami serangan jantung.
Baru-baru tular satu tangkap layar yang memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan ke satu pusat perubatan bagi menziarahi Rafizi yang dikatakan mengalami masalah jantung.
Rafizi difahamkan kini berada di bawah pemerhatian doktor selepas menjalani prosedur pembedahan sten jantung. – Edisi 9