PENGUNDI digalakkan keluar mengundi seperti masa yang disarankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengelak kesesakan pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sarawak, esok.
Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi boleh menyemak masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.
“Walau bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang atau mengikut waktu Pusat Mengundi diwartakan.
“Pengundi juga dinasihatkan membuat semakan awal maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
PRK DUN Jepak menyaksikan persaingan tiga penjuru antara calon GPS, Iskandar Turkee; calon Aspiarasi, Chieng Lea Phing dan calon PBK, Stevensen Joseph Sumbang.
Terdahulu, SPR menetapkan hari pengundian pada 4 November manakala 31 Oktober lalu sebagai tarikh pengundian awal melibatkan seramai 22,804 pemilih.
Sementara itu, Ikmalrudin berkata, semua pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki Pusat Mengundi pada hari mengundi dilarang memakai baju, topi, pelitup muka atau material yang mempunyai nama, lambang, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding.
Katanya ini termasuk apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.
“Kegagalan pengundi mematuhi atau melanggari peruntukan yang ditetapkan boleh menyebabkan pengundi dilarang dari memasuki Pusat Mengundi oleh petugas pilihan raya,” tegasnya. – Edisi 9