PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sarawak bakal menyaksikan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, GPS menyenaraikan Iskandar Turkee sebagai calon dan akan menentang Stevenson Joseph Sumbang (PBK) dan Chieng Lea Phing (Aspirasi).
Katanya, pencalonan Iskandar diterima pada pukul 9.03 pagi, Stevenson (9.09 pagi) sementara pencalonan calon Aspirasi, Chieng Lea Phing (9.12 pagi).
“Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh Pegawai Pengurus sehingga jam 11.59 malam, 3 November depan.
“Calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya adalah juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Berdasarkan daftar pemilih terkini SPR, DUN Jepak mempunyai 22,804 pengundi dengan 43 orang daripadanya terdiri daripada pengundi awal.
Sementara itu, Abdul Ghani berkata, semua kaedah dan bahan kempen adalah dibenarkan selagi mana ia tidak mengembangkan perasaan jahat.
Katanya, ia termasuk tidak puas hati atau permusuhan atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk menyentuh isu 3R (agama, bangsa, institusi diraja) serta tidak melanggar peruntukan Akta 5 dan undang-undang lain yang berkaitan.
“Lambang/simbol/bendera parti politik calon yang bertanding termasuklah lambang/simbol/bendera parti politik komponen yang berdaftar secara rasmi atau tidak berdaftar secara rasmi.
“Namun menyokong/bersekutu calon parti politik bertanding tersebut dibenarkan dipamerkan secara bersama atau berasingan di bahagian pilihan raya calon tersebut bertanding.
“Tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin parti politik komponen/gabungan/ pakatan pada bahan kempen pilihan raya,” katanya. – Edisi 9