CALON Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor optimis terhadap kemampuan jentera parti dalam membantunya menawan kembali Parlimen Kemaman.
Raja Mohamed Affandi yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera berkata, perjuangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman tidak ubah seperti berjuang medan perang.
Bertanding di kubu yang dikuasai Pas sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, beliau berkata, strategi yang ampuh diperlukan serta tidak memandang rendah kemampuan lawan.
“Dalam perang ada musuh, ada medan kawasan dan peperangan ada elemen lain manusia, tentera. Medan politik pun sama juga, ada musuh. Bukan musuh dalam bentuk musuh tapi lawan kita.
“Sama juga sini. Manusia (tentera) ini sekarang saya yakin jentera-jentera yang akan ubah situasi itu. Daripada satu yang kita rasa agak sukar sebenarnya tidak sukar sebab kita menggunakan semua elemen yang ada untuk mengatasi kekuatan musuh.
“Sebagai askar, kita tidak pandang rendah musuh tapi pada masa sama jangan takut pada dia. Kita lawan. Sebab kita tahu elemen-elemen ini akan bantu dan berikan kita kebarangkalian untuk mengatasi lawan lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu temubual eksklusif bersama UMNO Online, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Raja Mohamed Affandi berkata, beliau bertanding di PRK Parlimen Kemaman adalah kerana mahu menabur bakti kepada masyarakat setempat.
Sebagai anak jati Kemaman, beliau berkata, beliau sanggup melepaskan masa bersama keluarga dan jawatan-jawatan yang disandangnya hanya untuk menjadi wakil rakyat di Parlimen itu.
“Saya fikir balik, aku dapat benda yang baik tetapi apa pulangan yang aku beri. Saya nampak ini ruang untuk beri balik khidmat kepada masyarakat. Itu niat saya, niat hanya untuk buat bakti.
“Saya menyerulah sebab saya sudah korbankan apa yang saya ada untuk beri untuk datang ke sini tabur bakti. Itu tidak bermakna jika saya tidak dapat sokongan. Sia-sia. Saya harap hargai apa yang saya buat,” katanya. – Edisi 9