25.7 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024

58 individu disyaki terlibat pelaburan Forex ditahan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 58 individu disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan pelaburan Forex dalam talian ditahan menerusi serbuan di tiga premis pusat bangunan perniagaan di Bangsar, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, mereka terdiri daripada 24 lelaki dan 32 wanita tempatan, serta masing-masing seorang lelaki dan wanita warga asing berumur antara 20 hingga 59 tahun.

“Dalam serbuan itu polis turut merampas 50 komputer riba, empat telefon bimbit pelbagai jenama, sembilan set komputer meja, satu modem Wi-Fi dan dua gegantung pengiklanan pelaburan yang digunakan bagi kegiatan tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati adanya unsur penipuan pelaburan Forex secara dalam talian dan sindiket ini menggunakan platform media sosial bagi mempromosi serta menawarkan pelaburan dengan menyasarkan mangsa dari pelbagai negara antaranya Malaysia, Vietnam, China, Filipina, Singapura dan Eropah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu Amihizam berkata, kesemua suspek direman hingga Isnin ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420/511/120B Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam perkembangan kes lain, Amihizam berkata, dua lelaki tempatan ditahan ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di Taman Sri Petaling, semalam.

Advertisements

Beliau berkata, hasil serbuan di kawasan tempat letak kereta Jalan Pasai 6 itu, polis merampas 20,000 pil Erimin 5 dianggar seberat 5.2 kilogram bernilai RM221,000 di dalam beg kanvas berwarna coklat.

“Kedua-dua berumur lingkungan 42 hingga 61 tahun dan seorang daripada lelaki itu positif terhadap dadah jenis amphetamine, ketamin dan benzo.

“Kedua-duanya kemudiannya direman hingga Rabu depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurut Amihizam, polis sedang menjalankan risikan serta siasatan bagi mengenal pasti ahli sindiket terlibat dan sumber bekalan dadah diperoleh.

“Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan rampasan dadah ini bolehlah menyalurkan maklumat ditalian 03-22979222 sambungam 553 bagi membantu siasatan,”ujarnya.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

KPM umum beberapa inisiatif termasuk lonjak kapasiti guru digital

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan beberapa inisiatif antaranya bagi melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital, kata Menteri Pendidikan,...

Lagi Artikel Berkaitan