BARISAN Nasional (BN) mengakui laluan penuh berliku bakal dilalui pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman namum optimis parti itu mampu menawan kembali kerusi tersebut.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera BN juga perlu berkempen secara sihat dan berhemah serta tidak terikut cara mereka yang sarat dengan caci maki dan fitnah.
“Insya-Allah BN mampu kembali mendominasi dan kembali menjadikan Kemaman ‘biru ori’.
“Ya, saya akui laluan kemenangan bukanlah semudah kita ingini walaupun jelas perbuatan merasuah pengundi Kemaman telah dibuktikan.
“Tetapi dengan gerak kerja tersusun BN, saya yakin pengundi Kemaman bijak menilai yang terbaik untuk kesejahteraan Parlimen ini,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
PRK Parlimen Kemaman bakal menyaksikan pertembungan satu lawan antara calon Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang ditentang Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), calon Pas, Che Alias menang majoriti 27,179 undi selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.
Namun, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu telah membatalkan kemenangan calon Pas tersebut.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sudah sampai masanya rakyat memilih wakil untuk berkhidmat bukannya memilih pakatan parti yang asyik dengan percaturan politik ‘dah cukup jumlah’ yang tidak henti-henti.
“Biarlah wakil yang mewakili rakyat Kemaman ini dapat fokus mentadbir Parlimen dan dapat berhubung terus dengan Kerajaan Perpaduan untuk urusan kemajuan yang lebih mudah dan tersusun rapi,” katanya. – Edisi 9