GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sarawak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan apabila memperoleh majoriti 8,784 undi.
Dalam pertembungan tiga penjuru, calon GPS, Iskandar Turkee memperoleh 9,638, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Stevenson Joseph Sumbang memperoleh 854 undi.
Sementara itu, calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aaspirasi) Chieng Lea Phing sekadar memperoleh 431 undi.
Keputusan PRK DUN Jepak diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abang Zainuddin Abang Turkey pada pukul 8.30 malam tadi di pusat penjumlahan undi di Dewan Suarah Bintulu.
Peratusan pengundi yang keluar mengundi pada hari ini adalah sebanyak 48.57 peratus daripada 22,761 pengundi biasa yang layak mengundi di DUN berkenaan.
Kemenangan dengan majoriti 8,784 undi itu mengatasi rekod majoriti yang diperoleh penyandang kerusi, Datuk Talib Zulpilip yang memperoleh majoriti 4,243 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021.
Sementara itu, Iskandar berkata, majoriti besar yang diperolehnya menunjukkan kematangan pengundi dan mengetahui kemampuan GPS dalam memberikan perkhidmatan terbaik serta pembangunan untuk menafaat penduduk di DUN Jepak.
“Insya-Allah, saya berkhidmat untuk semua kaum di Jepak tidak kira Melanau, Melayu, Iban dan lain-lain.
“Saya akan lihat jika apa yang perlu bantu segera dan segala masalah atau isu yang timbul di DUN Jepak akan saya cuba selesaikan,” katanya. – Edisi 9