PENGELUAR kereta mewah Britain, Rolls-Royce akan mengurangkan sehingga 2,500 pekerja di seluruh dunia sebagai sebahagian langkah pemulihan di bawah ketua baharunya, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Tufan Erginbilgic, yang dilantik sebagai Ketua Eksekutif pada Januari lalu berkata, perubahan itu akan menjadikan gergasi kejuruteraan berpangkalan di Derby itu satu perniagaan yang ‘lebih terurus dan cekap’.
Pakar kejuruteraan aeroangkasa yang kini mempunyai 42,000 pekerja itu berkata, ia juga merancang untuk mengeluarkan ‘pertindihan’ dan menyampaikan kecekapan kos menerusi peringkat terkini pelan transformasinya.
“Kami sedang membina Rolls-Royce yang sesuai untuk masa depan.
“Perniagaan kami diisi oleh pekerja yang komited, berbakat dan saya percaya perubahan ini akan membolehkan mereka membina keupayaan lebih hebat dalam bidang-bidang yang penting ke arah kejayaan jangka panjang kami.
“Ini satu lagi langkah dalam perjalanan transformasi beberapa tahun kami untuk membina Rolls-Royce yang berprestasi tinggi, berdaya saing, berdaya tahan dan berkembang,” katanya. -Agensi