25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 12, 2024

Rasai suasana Glamping dalam hutan di Pulau Pinang

Mesti Baca

SELAIN terkenal dengan nasi kandar, Pulau Pinang memiliki ‘hidden gems’ yang semakin popular iaitu Boulder Valley Glamping yang terletak di Teluk Bahang, Balik Pulau.

Lokasi yang diselimuti kehijauan alam semula jadi itu adalah destinasi percutian yang sesuai untuk mereka yang ingin beristirehat daripada hiruk-pikuk kota dan mencari ketenangan atau lebih popular dengan istilah terkini ‘healing’.

Biarpun bilik yang ditawarkan berkonsep kanopi, tetapi Boulder Valley Glamping tidak berkompromi soal keselesaan pengunjung.

Tidak keterlaluan jika dikatakan anda seolah-olah berada di hotel lima bintang, namun dikelilingi alam semula jadi.

Saat kaki melangkah masuk ke Boulder Valley Glamping, anda disambut dengan alunan bunyi cengkerik dan aroma hutan yang cukup mendamaikan.

Pengurus Boulder Valley Glamping, Eugene Hoe berkata, terdapat tiga jenis bilik yang ditawarkan kepada pengunjung iaitu Safari Tent, Tented Villa dan Chalet Room yang harganya bermula daripada RM300 sehingga RM800.

Walaupun konsep seperti perkhemahan, kelengkapan asas disediakan antaranya seperti, pengering rambut, ketuhar gelombang mikro, soket elektrik untuk memudahkan pengunjung menggunakan barangan elektronik dan juga bilik mandi serta tandas di dalam setiap bilik.

“Jika pengunjung mahu rasa seperti tinggal di dalam khemah sebenar mereka boleh mengambil Safari Tent yang dikelilingi kanvas, bezanya kelengkapan asas semua ada di dalam bilik termasuk mempunyai perkhidmatan ‘room service’ untuk tempahan makanan.

Advertisements

“Tempat ini juga sering disewa untuk pelbagai acara seperti perkahwinan, fotografi, yoga, Zumba, kem bina semangat (team building) syarikat dan jabatan kerajaan serta pelbagai lagi.

“Biasanya pihak kami akan berbincang dengan pelanggan dan sebolehnya cuba memenuhi permintaan mereka mengikut kesesuaian bajet masing-masing,” kata Eugene.       

Lebih menarik, sayuran dan ulaman yang dihidangkan dalam makanan di kafe Boulder Valley Glamping ditanam secara organik oleh kakitangannya.

“Disini sememangnya kita mahukan pengunjung menikmati alam semaksima yang mungkin. Tidak hanya pemandangan yang indah, tetapi makanan terutama sayuran dan ulaman yang dihidangkan turut dihasilkan di sini.

“Mungkin sebab itu Boulder Valley Glamping adalah destinasi popular buat pengamal diet sayuran dan vegan kerana kami turut mempunyai menu untuk mereka,” katanya.

Boulder Valley Glamping mula dibuka pada 2014, tetapi kini pengurusannya telah diambil alih oleh DXN Holdings Berhad sejak 2019.

Bagi mereka yang ingin merasai sendiri pengalaman bersama alam semulajadi di sini boleh membuat tempahan menerusi laman web, https://bouldervalleyglamping.com.my. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Piala Mitsubishi Electric: Paulo Josue selamatkan ‘maruah’

PEMAIN naturalisasi, Paulo Josue menjadi penyelamat maruah skuad Harimau Malaya apabila dua jaringannya di separuh masa kedua berjaya membawa...

Lagi Artikel Berkaitan