27.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Polis pantau tujuh kumpulan ajaran sesat aktif di Malaysia

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau rapi tujuh kumpulan ajaran sesat yang masih aktif, dipercayai boleh mendatangkan ancaman keselamatan dan menggugat ketenteraman awam negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, berdasarkan siasatan, tujuh kumpulan tersebut dikenal pasti sebagai Terekat Habib Shah, Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara (DPEIN), Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Millah Abraham @ Ibrahim (MA), Ajaran Suhaini @ Sihulk, Nur Mutiara Mutmainnah (NMM) dan The Ahmadi Religion of Peace and Light.

“Demi keselamatan dan ketenteraman awam, polis akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi dibawah peruntukan Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis memandang serius penyebaran ajaran sesat yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan dan mengugat ketenteraman awam.

“Pemantauan rapi dijalankan dalam perkara ini bagi memastikan tiada penganut atau pengamal ajaran sesat yang melangkaui garisan keselamatan.

Advertisements

Dalam perkara ini, beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan serta Jabatan Agama Islam negeri bagi membendung kegiatan ajaran sesat dan fahaman terpesong daripada disebarkan dalam kalangan masyarakat.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, sejak 2021 hingga tahun ini, pihaknya merekodkan 51 laporan berhubung aktiviti kumpulan ajaran sesat atau menyeleweng.

“Daripada laporan itu, polis menahan 23 individu termasuk pemimpin dan pengikut kumpulan berkenaan.

“20 daripada tangkapan itu melibatkan kumpulan Tarekat Habib Shah dan masing-masing satu bagi kumpulan Ajaran Ilmu Akhir Zaman, Nur Mutiara Mutmainnah dan Suhaini @ Sihulk,”katanya.

Ujar beliau, sekiranya terdapat penganut penganut atau pengamal ajaran sesat yang dikesan membuat sebarang tindakan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan kegusaran awam, suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan yang boleh memudaratkan tahap kselamatan, PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan