SABAH FC merekodkan kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Piala AFC apabila membelasah juara Liga 1 Indonesia, PSM Makassar, 5-0, di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, malam tadi.
Penyerang kebangsaan, Darren Lok muncul wira skuad Sang Badak apabila meledak dua gol bagi memastikan mereka kekal di tangga teratas Kumpulan H.
Dalam aksi di Bali, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Lok menanduk masuk hantaran pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani pada minit kelima.
Saddil sekali lagi menjadi duri dalam daging buat kelab dari negaranya apabila hantaran silangnya pada minit ke-36 disudahkan dengan tandukan Gabriel Peres untuk gol kedua Sabah.
Pemain sayap Indonesia itu mencipta hatrik bantuan gol selepas hantarannya disempurnakan Lok hanya seminit selepas babak kedua bersambung untuk meletakkan pelawat selesa dengan tiga gol di depan.
Pemain tengah kebangsaan, Stuart Wilkins menambah derita PSM Makassar dengan gol keempat apabila sepakan percuma yang diambilnya terbias pertahanan tuan rumah sebelum masuk ke gawang.
Farhan Roslan melengkapkan kemenangan besar 5-0 Sabah FC selepas menolak masuk hantaran di depan gol Miguel Cifuentes pada waktu kecederaan.
Sabah kini unggul di tangga teratas Kumpulan H dengan enam mata, diekori kelab Singapura, Hougang United (tiga mata), Hai Pong (tiga mata) sementara PSM Makassar masih kekal tanpa sebarang mata. – Edisi 9