31.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

Maritim Malaysia lahirkan 15 penyelam penyelamat

Mesti Baca

SERAMAI 15 orang terdiri daripada tiga pegawai dan 12 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah berjaya menamatkan Kursus Penyelam Penyelamat Siri 1/2023 bertempat di Akademi Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di Gebeng, Pahang, hari ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kursus yang julung kali diadakan ini telah berjaya menarik penyertaan hampir 50 orang peserta dalam kalangan pegawai dan anggota Maritim Malaysia.

“Kesemua peserta kursus terlebih dahulu perlu melalui beberapa siri tapisan oleh Markas Pasukan Tindakan Khas (PTK) serta saringan kesihatan di Institut Perubatan Bawah Air (IPBAH) Hospital Angkatan Tentera di Kota Kinabalu dan Lumut.

“Hasil keputusan saringan berkenaan, seramai 22 pelatih telah disahkan sihat tubuh badan dan layak untuk diuji,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Kursus Penyelam Penyelamat Siri 1/2023 Maritim Malaysia, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Komander Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team), Komander Maritim Syuzefril Mat Noor serta pegawai kanan Maritim Malaysia.

Aminuddin berkata, selepas melalui fasa seminggu latihan penyesuaian, seramai 16 peserta berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya iaitu kursus Penyelam Penyelamat yang terbahagi kepada tiga fasa iaitu ujian kolam, praktikal pelabuhan di jeti Zon Maritim Kemaman dan praktikal laut menggunakan KM Pekan sebagai platform.

Advertisements

“Pelatih juga perlu melepasi ujian diving ability test, praktikal confined space rescue dan deep dive. Walau bagaimanapun seorang peserta terkandas pada ujian kolam menjadikan peserta kursus berkenaan hanya seramai 15 orang,” katanya.

Aminuddin berkata, keunikan kursus ini apabila silibus kursus turut mengaplikasikan teknik Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) di dalam kebuk ruangan sempit yang dikongsi oleh penyelam Japan Coast Guard (JCG).

“Silibus ini digunapakai hasil kerjasama Maritim Malaysia dengan Japan International Cooperation Agency (JICA) sejak tahun 2014 dan Malaysia telah menjadi satu-satunya negara di Asia selepas Jepun yang mempunyai kepakaran ini,” katanya.

Sempena majlis penutup kursus ini, Aminuddin turut menyampaikan Anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik kepada Laskar Kelas II Maritim Erwan Kornelis @ Amran.

Manakala Anugerah Penuntut Akademik Terbaik disandang oleh Leftenan Madya Maritim Muhammad Aizuddin Zawawi.

Selepas tamat tempoh kursus ini, kesemua mereka bakal diletakkan di bawah Skuadron Selam Maritim Malaysia kendalian STAR Team dan akan ditempatkan di enam lokasi berbeza iaitu Perak, Johor, Sabah, Sarawak, AMSAS dan STAR Team Ibu Pejabat Maritim Malaysia. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan