SABAH FC gagal mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam aksi Kumpulan H selepas tewas, 3-2 kepada wakil Vietnam, Hai Phong dalam saingan Piala AFC, sebentar tadi.
Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee turun ke Stadium Lach Tray dengan misi mengutip tiga mata penuh, namun ketinggalan seawal minit ke-14 menerusi jaringan pemain sayap Hai Phong, Huu Son Nguyen.
Belum pun sempat skuad Sang Badak memperkemaskan benteng pertahanan, gawang mereka bocor lagi dan kali ini menerusi jaringan Tien Dung Dam pada minit ke-18.
Sabah bagaimanapun berjaya merapatkan jurang pada minit ke-71 menerusi jaringan pemain import, Ramon Machado.
Namun, belum pun puas gol tersebut diraikan penyokong Sabah, Hai Phong kembali membuka jurang dua gol menerusi jaringan ketiga, sekali lagi menerusi Dung Dam.
Gol tersebut tidak mematahkan semangat pemain-pemain Sabah dan mereka berjaya memperoleh gol kedua menerusi rembatan menarik Gary Steven Robbat dari luar kawasan penalti untuk menjadikan kedudukan 3-2.
Bagaimanapun, keputusan itu kekal sehingga tamat permainan sekali gus membawa Hai Phong ke tangga teratas Kumpulan H dengan enam mata, dipisahkan dengan Sabah menerusi rekod pertemuan. – Edisi 9