KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan sebanyak 15,208 pemeriksaan di seluruh negara bagi membanteras aktiviti menyorok bekalan gula.
Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd. Sayuthi Bakar menerusi kenyataan berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan Ops Manis dan Ops Manis 2.0 bermula 3 Mei sehingga 17 Oktober lalu, sebanyak 433 aduan diterima pihaknya.
Katanya, sebanyak 46 kes melibatkan kesalahan mengenakan syarat penjualan yang tidak sah, menjual melebihi harga kawalan, membungkus gula tanpa kebenaran pengawal bekalan dan memberi gambaran mengelirukan mengenai harga jualan gula.
“KPDN memberi jaminan akan meneruskan pemantauan ke atas keberadaan dan kestabilan bekalan gula dalam negara menerusi pelaksanaan Ops Manis.
“Ops Manis 2.0 diteruskan sehingga 31 Disember bagi memastikan tidak berlaku aktiviti menyorok gula dan mengelak pembelian panik pengguna yang boleh menyebabkan gangguan ke atas bekalan bahan itu di pasaran,” katanya semalam.
Mohd. Sayuthi berkata, KPDN akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati terlibat di dalam aktiviti penyelewengan bekalan gula.
“Ini termasuk menjual gula putih bertapis kasar dan halus secara bersyarat, aktiviti menyorok bekalan gula serta menjual melebihi harga kawalan yang ditetapkan.
“Pengguna juga disaran berhemah menggunakan gula dalam kehidupan seharian kerana penggunaan gula secara berlebihan boleh menjejaskan kesihatan pengguna itu sendiri,” katanya. – Edisi 9

