KERAJAAN Persekutuan digesa memberikan perhatian yang lebih serius terhadap pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang berdepan kelewatan.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata tindakan utama yang perlu dilaksanakan ialah memastikan penyaluran peruntukan yang lancar dan mencukupi untuk projek itu.
Katanya, masalah peruntukan kewangan punca utama pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah tergendala dengan sebanyak 19 lagi pakej dalam fasa satu belum dimulakan.
Beliau berkata, berbanding Pan Borneo Sarawak yang dijadual siap sepenuhnya pada tahun depan, projek di Sabah masih memerlukan masa yang lama untuk disiapkan.
“Kita belum bercakap mengenai jajaran Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 2 dari Tamparuli ke Kundasang dan Fasa 3 dari Tawau ke Kalabakan dan Kimanis, kita tidak tahu bila ia akan dimulakan dan sama ada disediakan peruntukan.
“Perkara ini sering saya perjuangkan dan kita berharap projek Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1 di Sabah dapat diselesaikan dalam tempoh dua tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, penyiapan jajaran Lebuh Raya Pan Borneo Sabah penting bukan saja untuk kemudahan perhubungan, malah sebagai pemangkin untuk mengubah landskap ekonomi Sabah.
Katanya, dengan adanya lebuh raya itu, sektor pertanian boleh dimajukan dengan lebih meluas kerana memudahkan rakyat memasarkan hasil ke bandar.
“Begitu juga pelancong, tentu akan ramai datang melawat Sabah kerana dengan sistem perhubungan jalan raya yang selesa, mudah bagi mereka bergerak melawat beberapa tempat menarik di negeri ini.
“Ia sudah tentu dapat memberikan pulangan ekonomi kepada negeri dan rakyat,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan proses tender bagi 19 pakej kerja untuk projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1b akan diselesaikan November ini membabitkan jajaran 366 kilometer dengan kos RM15.7 bilion. -Edisi 9