33 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Kes 1MDB: Roger Ng dikembalikan kepada pihak berkuasa Malaysia

Mesti Baca

BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di New York kerana membantu menggelapkan berbilion dolar dana kekayaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diserahkan kepada Malaysia untuk berdepan tuduhan di negara itu.

Ketua Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS), Margo Brodie di Brooklyn semalam mengarahkan Ng menyerah diri kepada Perkhidmatan Marshal AS hari ini supaya dia boleh diserahkan kepada penguat kuasa undang-undang Malaysia.

Bagaimanapun pendakwa dalam satu surat awal kepada Brodie berkata, Ng dikehendaki kembali ke AS untuk menjalani hukuman penjara dan ia turut dipersetujui peguam lelaki itu.

Ketika ini tiada maklum balas diperoleh daripada peguam Ng ketika diminta.

Sebelum ini, tarikh penyerahan Ng ditangguhkan dari 6 September, selepas pendakwa AS berkata, mereka memerlukan lebih banyak masa untuk berkomunikasi dengan Kuala Lumpur terlebih dahulu, sebelum membenarkannya dibicarakan di Malaysia.

Sehari sebelum itu, bank pusat Singapura mengeluarkan perintah larangan seumur hidup (PO) terhadap Ng yang juga dikenali sebagai Ng Chong Hwa.

Kes Ng berpunca daripada kira-kira AS$6.5 bilion (RM29.09 bilion) bon Goldman membantu penjualan 1MDB pada 2012 dan 2013.

Advertisements

Pendakwa raya AS berkata, pegawai, bank dan sekutu mereka menggelapkan kira-kira AS$4.5 bilion (RM20.14 bilion) daripada jumlah itu.

Ng ialah warganegara Malaysia dan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia.

Brodie menjatuhkan hukuman kepada Ng pada Mac lalu, iaitu 11 bulan selepas juri mendapati dia bersalah kerana membantu bekas bos Goldman, Tim Leissner menggelapkan wang 1MDB, mencuci hasil dana itu dan menyogok pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.

Hukuman terhadap Leissner yang tertangguh dijadualkan pada 19 Mac 2024. Jho Low, dalang utama skim itu, turut didakwa tetapi sehingga kini, dia masih bebas.

Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju membayar AS$2.9 bilion (RM12.98 bilion) dan unitnya di Malaysia mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah.

Ng ditahan di Malaysia pada November 2018 dan bersetuju untuk diekstradisi ke AS. -Agensi

Advertisements

Terkini

In Saff Travel tawar pakej umrah serendah RM4970

BERUSAHA memberikan yang terbaik terhadap pelanggannya, syarikat pengendali pakej umrah, In Saff Travel & Tours Sdn Bhd menampilkan pakej...

Lagi Artikel Berkaitan