26.4 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

4,000 km paip air di Kelantan bermasalah – Exco

Mesti Baca

KERAJAAN negeri Kelantan akan menyerahkan satu kertas kerja kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi menyatakan hala tuju dalam usaha menyelesaikan isu paip bermasalah secara berperingkat di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin, berkata lebih kurang 4,000 kilometer (km) paip bermasalah dikesan di seluruh kawasan yang perlu dibaiki bagi menyelesaikan isu bekalan air negeri.

Katanya, pengurusan masa serta kewangan juga perlu diteliti untuk dibincangkan sejajar hasrat Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, yang memberi jaminan masalah air menjadi keutamaan kerajaan negeri.

“Kita juga perlu tahu bagaimana untuk membahagikan projek mengikut kemampuan kewangan negeri, selain cara memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sama ada untuk sumber atau bekalan air.

“Pada masa sama, kerajaan negeri memperkasa hubungan melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan PAAB supaya lebih kemas dalam memberi komitmen menyelesaikan masalah air,” katanya.

Beliau turut menekankan supaya perkhidmatan aduan AKSB segera ditambah baik.

Advertisements

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Meranti Baharu, yang disempurnakan oleh Mohd Nassuruddin.

Pembinaan LRA Meranti baharu akan memenuhi permintaan air di beberapa lokasi seperti Kampung Berangan, Kampung Jeneris, Kampung Kubang Chenak, Kampung Perupok dan Kampung Tok Midin, di Pasir Mas.

Dianggarkan 4,300 akaun pengguna terbabit melalui tangki air yang berkapasiti 2,600 meter padu.

Dalam pada itu, Dr Izani mengakui kerajaan negeri sedia maklum bahawa mana-mana negeri tidak mampu bersendirian menyelesaikan masalah air dan usaha itu memerlukan sokongan Kerajaan Persekutuan sama ada melalui bantuan atau geran mengikut perkara yang termaktub dalam perundangan.

Justeru, jalan penyelesaian boleh dilakukan melalui perbincangan dengan PAAB dan SPAN, selain menjalin hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.

“Rakyat Kelantan menerima apa sahaja bantuan daripada Persekutuan tanpa mengira fahaman politik, selain besar harapan agar Perdana Menteri menjalankan tanggungjawab atas dasar negara dan bukan parti semata-mata,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan