26.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Hampir empat bulan digantung, FDAM beroperasi semula

Mesti Baca

SELEPAS hampir empat bulan digantung oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), akhirnya Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dibenarkan beroperasi semula selepas mendapat keputusan rayuan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), semalam.

Pemangku Presiden FDAM, Datuk Zulkeflie M Osman berkata, merujuk surat KDN bertarikh 15 September lalu menyatakan keputusan rayuan FDAM diluluskan dengan syarat dan kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 18, Akta Pertubuhan 1966.

“Sehubungan itu, FDAM diminta hadir di JPPM Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan khidmat nasihat berhubung maklumat dan tindakan penambahbaikan dikemukakan dalam tempoh 90 hari dari tarikh surat berkenaan.

“Saya bersama Setiausaha, Mohamad Zaini Hassan dan Bendahari, K. Logananthan ke pejabat JPPM dan semuanya berjalan lancar, semalam.

“Dalam pertemuan ini, beberapa perkara diminta JPPM seperti logo rasmi FDAM masih belum diluluskan penggunaannya sehingga diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang akan diadakan penghujung tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Zulkeflie mengesahkan FDAM dibatalkan RoS berkuat kuasa pada 7 Jun lalu dan telah membuat merayu agar badan itu dikembalikan hak sebagai persatuan.

Antara lain, Zulkeflie menjelaskan pembubaran FDAM berpunca alasan dikemukakan persatuan berhubung aduan perlanggaran sebahagian daripada akta perlembagaan yang terdahulu, dianggap tidak kukuh oleh RoS.

Zulkeflie berkata, FDAM mengucapkan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan pegawai KDN serta JPPM Wilayah Persekutuan yang membantu FDAM untuk beroperasi semula.

Advertisements

“FDAM juga berterima kasih kepada ahli atas kepercayaan dan sokongan tanpa berbelah bagi dengan memberikan ruang serta masa kepada pengurusan pentadbiran, penasihat dan Ahli Jawatankuasa FDAM untuk memulihkan kemelut melanda.

“Penghargaan juga kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) atas dorongan, nasihat dan sokongan dalam membantu usaha memulihkan status FDAM yang terbatal.

“Ada kalanya kerana kebiasaan membuatkan terlepas pandang terhadap sesuatu perkara yang boleh menjejaskan kualiti pengurusan persatuan sendiri,” katanya.

Zulkeflie berkata, fokus dan hala tuju FDAM kini untuk mempertingkatkan kualiti pengurusan persatuan termasuk langkah penambahbaikan dan idea baharu yang perlu ada bagi kemajuan persatuan.

“Diharap hubungan dan kerjasama FDAM dengan kementerian, jabatan dan pihak swasta yang berkaitan dengan perfileman serta stesen televisyen lebih diperkukuhkan lagi.

“Begitu juga usaha berterusan FDAM dalam mengembangkan kerjasama luar dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.

“Sebagai persatuan tunggal yang mentauliahkan pengarah filem di Malaysia, FDAM sentiasa mengharap sokongan penuh daripada semua pihak dalam melahirkan pengarah kompeten dan dapat menyahut cabaran dalam dunia perfileman seiring kemajuan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) pada masa kini,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan