SEORANG wanita dipercayai dirasuk ketika mendaki Bukit Jugra Trail, Kampung Permatang Pasir, Banting, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, insiden tengah hari itu berlaku ketika wanita tempatan berusia 20-an itu melakukan aktiviti berkenaan bersama keluarga sebelum dipercayai dirasuk kira-kira tiga kilometer dari tempat pendakian bermula.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.24 tengah hari.
Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting bergegas ke lokasi insiden.
“Pasukan penyelamat mengambil masa satu jam untuk membawa turun wanita itu dengan menggunakan pengusung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. -Edisi 9