KEMBALINYA Newcastle dalam kejohanan Liga Juara Juara Eropah (UCL) berdepan jalan sukar apabila diundi dalam kumpulan ‘maut’ bersama-sama AC Milan, Borussia Dortmund dan Paris Saint-Germain (PSG).
Ini bukanlah kepulangan yang dinantikan skuad Tyneside itu selepas kali terakhir beraksi di UCL pada musim 2022-23.
Perlawanan terakhir yang ditempuh The Toon adalah menentang Bayer Leverkusen pada Februari 2003 yang menyaksikan Alan Shearer melakar hatrik untuk menang 3-1.
Namun, cabaran kali ini pastinya berbeza dengan Milan terus memperkuatkan pasukan dengan membawa ramai pemain baharu seperti Ruben Loftus Cheek, Christian Pulisic, Yunus Musah, Samuel Chukwueze, Noah Okafor dan ramai lagi.
Sementara PSG pula yang melantik Luis Enrique pastinya memburu kejuaraan UCL di bawah presiden, Nasser Al-Khelaifi.
Mereka berjaya mencapai persetujuan dan kembali menurunkan penyerang sensasi, Kylian Mbappe serta membawa masuk bintang Barcelona, Ousmane Dembele ke Parc des Princes.
Cuma, cabaran Borussia Dortmund juga tidak boleh dipandang enteng apatah lagi pasukan bimbingan Erdin Terzic itu berjaya memberikan cabaran kepada Bayern Munich musim lalu serta membuatkan Chelsea berpeluh sebelum menang peringkat kalah mati UCL.
Sementara itu, Manchester United mendapat undian sederhana apabila diletakkan bersama Bayern, FC Copenhagen dan Galatasaray dalam kumpulan A.
Penyandang juara, Manchester City pula mendapat undian mudah apabila berada dalam kumpulan G bersama RB Leipzig, FK Crvena Zvezda dan BSC Young Boys.
Real Madrid dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan kalah mati apabila diundi bersama Napoli, SC Braga dan Union Berlin dalam kumpulan C. – Edisi 9
