31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

FGV sumbang lebih RM800,000 bantu saudara baharu di Sabah

Mesti Baca

FGV Holdings Berhad (FGV) menerusi program FGV Seikhlas Hati menghulurkan sumbangan sebanyak RM840,700 kepada 701 keluarga saudara baharu dari 11 kampung di Nabawan dan Kundasang Sabah.

Dengan kerjasama Muslim Care Malaysia (MCM), sumbangan itu diberikan dalam bentuk wang tunai, pek barangan makanan keluaran FGV, kit kelengkapan ibadah dan peruntukan bagi pembinaan sebuah masjid dan sebuah rumah asnaf.

Sumbangan itu disampaikan pada satu majlis di Nabawan, semalam, yang disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ruslan Muharam.

Turut hadir, Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yasin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor dan Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan.

FGV Seikhlas Hati adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan FGV, dengan kerjasama rapat Muslim Care Malaysia (MCM) bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Nazrul berkata, melalui program berkenaan, FGV berpeluang menyalurkan bantuan, khususnya buat saudara baharu seagama yang dihimpit kesusahan di sekitar Nabawan dan Kundasang.

“FGV mengucapkan terima kasih kepada MCM dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) atas kerjasama yang sangat baik dalam mengenal pasti dan menyalurkan sebahagian daripada wang zakat wakalah perniagaan FGV kepada golongan memerlukan.

“Usaha kami dalam program ini mencerminkan komitmen FGV untuk membantu komuniti yang memerlukan di seluruh pelusuk negara, terutama di sekitar kawasan operasi perniagaan FGV,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Advertisements

Nazrul berkata, FGV ialah antara pembayar zakat perniagaan terbesar bagi syarikat senaraian awam bumiputera (BLPC) sejak beberapa tahun lalu dan melunaskan kewajipan itu di semua negeri, di mana syarikat berkenaan beroperasi, termasuk Sabah dan Sarawak, dengan peruntukan RM35.3 juta bagi pengagihan Zakat Perniagaan Kumpulan FGV yang akan ditunaikan pada tahun ini.

Pada majlis itu, Nazrul turut menyerahkan cek replika sumbangan zakat perniagaan FGV sebanyak RM6.3 juta bagi Sabah kepada Bungsu, yang mewakili MUIS.

Sementara itu, Zulkifli berkata, Nabawan dipilih sebagai lokasi program kerana daerah itu adalah pusat penempatan semula saudara baharu yang memeluk Islam sejak awal 1970-an.

“Semua 701 keluarga yang menerima sumbangan adalah saudara baharu yang memeluk Islam antara tempoh sebulan sehingga lima tahun lalu.

“MCM amat berbesar hati dan berterima kasih kerana mendapat kepercayaan FGV untuk menjadi rakan kerjasama bagi melaksanakan FGV Seikhlas Hati,” katanya.

Zulkifli berkata, MCM dan FGV pernah dua kali bekerjasama sebelum ini dalam program Bantuan Mangsa Banjir di Pantai Timur pada 2022 dan sumbangan komputer riba untuk penuntut universiti pada awal 2023.

“Kerjasama di Nabawan ini membabitkan skala lebih besar daripada segi nilai kewangan yang diperuntukkan dan jumlah penerima manfaat,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu masa untuk BN balas jasa PH – Zahid

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) adalah waktu untuk Barisan Nasional (BN) membalas...

Lagi Artikel Berkaitan