27.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Suhakam gesa KPM kaji semula hukuman rotan

Mesti Baca

PESURUHJAYA Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Dr Farah Nini Dusuki menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mempertimbang dan mengkaji semula pendiriannya terhadap hukuman rotan dan kemudaratan yang berkaitan dengannya.

“Sebarang bentuk hukuman ke atas kanak-kanak seharusnya mempunyai manfaat daripada pembetulan kesalahan yang dilakukan.

“Mendidik melalui ketakutan atau kesakitan telah terbukti mempunyai kesan negatif terhadap mental, fizikal dan harga diri pelajar.

“Pelajar harus memahami secara logik akibat dari salah laku mereka dan menyelesaikan sebarang konflik melalui proses dialog,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Farah mengulas kejadian seorang pelajar mengalami kecederaan di mata didakwa akibat dirotan guru yang ingin menangani salah laku pelajar terbabit.

“Insiden itu seharusnya menjadi satu peringatan kepada kerajaan dan masyarakat sivil untuk mengubah pendirian terhadap hukuman rotan,” katanya.

Advertisements

Farah berkata, Suhakam, menggalakkan kerajaan agar proaktif dalam meneroka strategi disiplin alternatif untuk melindungi maruah pelajar dan memupuk rasa hormat, di samping menyubur kemahiran membuat keputusan sebagai satu bentuk perbaikan kepada disiplin pelajar.

“Walaupun terdapat peraturan ketat ditetapkan oleh KPM berkenaan pelaksanaan hukuman rotan, namun wujud risiko untuk kemudaratan yang teruk berlaku jika pelaksana terbawa-bawa oleh emosi atau berlaku kecuaian.

“Oleh yang demikian, terdapat keperluan mendesak untuk beralih kepada kaedah pengajaran dan keibubapaan tanpa kekerasan bagi mengurangkan sebarang kes bahaya dan kecederaan akibat daripada hukuman rotan,” katanya lagi.

Farah berkata Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 dan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil.7/2003 menggariskan panduan pelaksanaan hukuman rotan di sekolah.

“Sebarang hukuman rotan yang keterlaluan sehingga menyebabkan kecederaan kepada pelajar hendaklah mengakibatkan implikasi undang-undang yang termaktub dalam Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], yang termasuk liabiliti denda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit, atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun, atau kedua-duanya,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan