YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Jambatan Guai di Kampung Seberang Guai, Bera, Pahang siang tadi.
Ketibaan Baginda dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi kenyataan berkata, Al-Sultan Abdullah kemudiannya mencemar duli menandatangani plat penamaan jambatan dan memperkenan Jambatan Guai dinamakan bersempena nama baginda.
Pembinaan Jambatan Al-Sultan Abdullah dilaksanakan oleh KKDW sejak tahun 2016 merentasi Sungai Pahang dari Kampung Guai ke Kampung Seberang Guai bagi membaiki
rangkaian infrastruktur jalan raya luar bandar sekaligus meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk luar bandar di negeri Pahang.
Projek pembinaan jambatan bernilai RM98.5 juta itu siap pada 30 November 2021 dan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pahang untuk disenggara di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).
Projek berkenaan sepatutnya disiapkan setahun lebih awal tetapi mengalami sedikit kelewatan kerana banjir dan Perintah Kawalan Pergerakan ketika negara dilanda wabak COVID-19.
Jambatan yang telah dibuka untuk kegunaan awam ini sepanjang 770 meter dan jalan tuju sepanjang 799 meter.
Dengan adanya jambatan ini, penduduk Kampung Guai dan kampung-kampung sekitarnya hanya mengambil masa selama 20 minit untuk ke Pusat Bandar Bera dengan jarak perjalanan lebih pendek iaitu 15 kilometer sahaja.

Jambatan ini juga menjadi laluan alternatif kepada penduduk Bera untuk ke Bandar Temerloh dan Kuantan.
KKDW berkata, pihaknya akan terus menambah baik jaringan jalan dan jambatan di kawasan Guai ini.
“Selain projek Jambatan Al-Sultan Abdullah, kementerian juga sedang melaksanakan projek Membina Jambatan Baharu dan Jalan Penghubung dari Jalan Charuk Putting-Guai yang akan melengkapi jaringan jalan berdekatan dengan jambatan ini.
“Selain itu, terdapat 32 projek Jalan Luar Bandar sedang dilaksanakan di negeri Pahang yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM2.15 bilion.
“Lima daripadanya adalah projek jalan luar bandar yang dilaksanakan di Daerah Bera,”menurut kenyataan itu.
Untuk rekod, kerajaan melalui KKDW telah meluluskan peruntukan pembangunan berjumlah RM406 juta kepada Negeri Pahang pada tahun 2023 untuk melaksanakan 127 projek pembangunan.
Sementara itu, dalam hantaran di Facebook, Ahmad Zahid yang juga Menteri KKDW berkata, beliau merafak sembah, menjunjung kasih setinggi-tingginya atas keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, bagi mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Jambatan Guai dan memperkenan agar jambatan ini dinamakan bersempena nama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
“Saya mewakili warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan terus mengambil segala insiatif dalam menjunjung amanah yang diberikan bagi merencanakan pembangunan masyarakat desa ke arah mencapai misi meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar secara menyeluruh dan berkesan.
“Saya juga berharap dengan tersedianya jambatan ini, ia dapat memangkin ekonomi masyarakat tempatan seterusnya dapat menghubungkan masyarakat di daerah ini untuk kemudahan pelbagai kegiatan kemasyarakatan,”katanya. – Edisi 9