BINTANG sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo meneruskan prestasi cemerlang musim ini apabila meledak dua gol ketika membantu Al-Nassr menundukkan Al-Ahli, 4-3, dalam aksi Liga Pro Saudi, awal pagi tadi.
Pemain berstatus lagenda itu hanya memerlukan empat minit selepas wisel perlawanan ditiupkan apabila mencetak gol pertama menerusi lembatan leret menewaskan penjaga gol Al-Ahli, Edouard Mendy.
Pemain import Brazil, Talisca menanduk masuk hantaran Aymeric Laporte untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-18 sebelum Frank Kessie merapatkan jurang untuk pelawat pada minit ke-30.
Talisca meledak gol kedua peribadinya pada perlawanan awal pagi tadi apabila sepakan lencongnya dari dalam kawasan penalti terus menerjah ke penjuru kiri Mendy sambil penjaga gol kebangsaan Senegal itu tidak mampu berbuat apa-apa.
Al-Ahli dihadiahkan sepakan penalti selepas Talisca menjatuhkan Bassam Mohammed Alhurayji dan Riyad Mahrez berjaya menyempurnakan sepakan untuk merapatkan kedudukan 3-2.
Bagaimanapun, Ronaldo kembali membuka jurang kepada dua gol apabila menjaringkan gol keempat tuan rumah pada minit ke-52.
Feras Albrikan kembali merapatkan jaringan pada minit ke-87 namun itu tidak mampu menghalang Al-Nassr untuk mencipta kemenangan kelima berturut-turut musim ini. – Edisi9