27 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 19, 2024

Magis Khai Bahar dan Adira dalam ‘Pejam’

Mesti Baca

KREDIBILITI dua figura ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Kedua mereka berjaya mencorak kanvas seni masing-masing dengan bakat yang dimiliki.

Malah, aura bintang itu sudah terlihat bersinar sedari awal kemunculan mereka dalam industri muzik.

Dari karya solo mahu pun duet, Khai Bahar dan Adira Suhaimi membuktikan kemampuan tersendiri hingga masing-masing dilihat terus ampuh di kedudukan sedia ada.

Mereka juga menjadi antara penyanyi yang terus meniti populariti.

Khai sebelum ini sudah pernah berduet dengan beberapa penyanyi wanita terkenal antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Siti Nordiana, Aina Abdul dan Fatin Husna.

Sementara Adira begitu sinonim dengan rakan duetnya, penyanyi hebat, Hafiz Suip.

Terbaharu, gandingan Khai Bahar dan Adira Suhaimi menerusi lagu ‘Pejam’ dilihat bakal mengulangi kejayaan yang pernah dicipta mereka dengan pasangan duet masing-masing sebelum ini.

Lagu Pejam adalah karya hasil ciptaan sepenuhnya oleh Audi Mok dan Shazee, yang diterbitkan oleh syarikat rakaman Nova Music dan dilancarkan secara rasmi, semalam.

Khai yang juga pemenang kategori ‘Penyanyi Lelaki  Popular’ pada Anugerah Bintang Popular BH ke-35 yang lalu berkata, lagu itu sudah disiapkan sejak dua tahun lalu.

“Sebenarnya, lagu ini sudah siap lama, tapi disebabkan beberapa perkara yang perlu diselesaikan dulu jadi pelancarannya tertangguh.

“Alhamdulillah, selepas dua tahun, lagu ini dapat diperdengarkan kepada umum.

“Namun, bagi peminat yang pernah menghadiri persembahan Konsert Nafas Cinta Khai Bahar pada Februari 2022 di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ Pac), Bandar Utama, saya ada menyanyikan lagu Pejam ini bersama Adira. 

“Selepas itu, memang ramai yang bertanya dan menunggu bila lagu ini akan dilancarkan.

“Namun, kami percaya pada perancangan syarikat rakaman. Jadi, baik saya mahu pun Adira, kami keluar dengan lagu solo masing-masing dahulu,” katanya.

Khai berkata, idea berkolaborasi dengan Adira dicetuskan oleh syarikat rakaman Nova Music.

“Ketika konsert itu, Nova Music bertindak sebagai penganjur. Jadi, saya ada buat permintaan pada malam itu mahu berduet dengan Aina dan Adira. Dari situ, pihak Nova terus mencadangkan agar saya rakam satu lagu duet baharu bersama Adira.

Advertisements

“Saya sambut baik idea itu dan mereka terus mencari lagu yang sesuai. Jadi, terhasillah lagu Pejam yang betul-betul kena dengan jiwa dan muzik yang kami bawakan.

“Sejujurnya, saya sangat gembira dan teruja kerana dapat berduet dengan seorang lagi penyanyi wanita hebat dan berbakat,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Adira, Khai menyifatkan bekas bintang Akademi Fantasia musim kelapan itu sebagai penyanyi yang cukup profesional.

“Biarpun ini kerjasama pertama kami dalam lagu, segalanya dipermudahkan dan berjalan lancar. Adira seorang penyanyi yang sangat profesional dan banyak membantu.

“Dia tidak lokek ilmu malah kami saling bertukar pandangan dalam memberikan yang terbaik untuk lagu Pejam ini.

“Disebabkan itu, kalau nak tahu lagu Pejam yang dilancarkan ini adalah dari rakaman percubaan atau demo saja sebelum proses rakaman sebenar.

“Tapi, penerbit dan komposer cakap ia sudah cukup sempurna dan bagus. Mereka risau jika rakaman yang seterusnya tidak akan mendapat hasil yang diinginkan,” katanya.

Sementara itu, Adira meluahkan rasa teruja apabila diberi peluang berduet dengan Khai sekali gus memenuhi impiannya.

“Saya kenal Khai dengan lagu-lagunya yang tular. Malah, dia juga antara penyanyi yang cukup popular selain memiliki kualiti vokal yang bagus.

“Saya akui, merakamkan lagu duet bukan mudah. Sesama penyanyi perlu ada kesefahaman dan keserasian. Bukan saja dari segi suara, tapi juga penyampaian lagu. Alhamdulillah, dengan Khai kami dapat semuanya. 

“Mungkin juga disebabkan pengalaman yang kami ada sebelum ini menerusi lagu duet lain menjadikan proses rakaman lagu Pejam lebih mudah. Pendek kata, hasil akhir lagu ini membuatkan kami dan semua pihak yang terbabit puas,” katanya.

Dalam masa sama, Adira berharap lagu Pejam mendapat tempat di hati peminat sekali gus meraih kejayaan tersendiri.

“Sudah tentu sebagai penyanyi, saya berharap setiap karya yang dihasilkan berjaya. Begitu juga dengan lagu duet ini. Saya mahu peminat puas dan gembira mendengarkan lagu ini.

“Saya yakin lagu Pejam ini adalah karya yang cukup indah untuk didengar dan dihayati. Paling penting, saya tidak sabar mendengar maklumbalas daripada semua peminat,” katanya.

Lagu Pejam sudah tersedia untuk didengar dan distrim di semua platform muzik digital. Video muzik rasmi lagu itu juga boleh mula ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ menerusi pautan ini https://youtu.be/4bQQ0VE5zuM?si=mpUl34t5VlvOpK71. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

70,000 penduduk luar bandar nikmati elektrik biogas Felcra

KIRA-KIRA 70,000 penduduk luar bandar atau 14,000 rumah bakal menikmati bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi menerusi janakuasa yang...

Lagi Artikel Berkaitan