Friday, July 24, 2026

Ronaldo buntu, Al-Nassr sia-siakan kelebihan dua gol

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

CRISTIANO Ronaldo gagal mencetak sebarang jaringan ketika pasukannya, Al-Nassr mensia-siakan kelebihan dua gol apabila diikat kelab bawahan, Abha, 2-2 di Stadium Al-Awwal Park, Riyadh, awal pagi tadi.

Al-Nassr yang turun selaku tuan rumah bermula garang apabila menyumbat gol pertama seawal minit ketiga menerusi penyudah cantik, Octavio dari dalam kawasan penalti.

Talisca menggandakan jaringan pada minit ke-28 apabila bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum menyepak masuk hantaran Sadio Mane untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Namun, anak buah Luís Castro tampak selesa selepas itu dan sikap terlalu yakin memakan diri apabila Abha bangkit memadam defisit dua gol.

Saad Bguir merapatkan jurang pada minit ke-36 menerusi sepakan penalti sebelum Karl Toko Ekambi melepaskan rembatan kencang dari luar kotak pada waktu kecederaan bagi memastikan mereka mencuri satu mata.

Sementara itu, dalam aksi Jeddah Derby antara Al-Ahli dan Al-Ittihad pula menyaksikan pertarungan yang penuh mendebarkan antara kedua-dua pasukan.

Namun, gol tunggal pemain antarabangsa Ivory Coast, Frank Kessie sudah cukup memberikan tiga mata penuh buat Al-Ahli.

Al-Ittihad terlepas peluang menyamakan kedudukan pada lewat permainan selepas gol kapten, Karim Benzema dibatalkan kerana ofsaid.

Al-Taawon kini berada di puncak Liga Pro Saudi dengan 22 mata, diikuti Al-Hilal di tempat kedua dan Al-Nassr (ketiga). – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan