29.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 19, 2024

Penganggur hina Sultan Selangor dipenjara enam bulan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini, mengenakan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang penganggur yang didakwa atas pertuduhan memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Selangor.

Hakim, N Priscilla Hemamalini memutuskan hukuman terbabit ke atas Mohamad Azlan Ibrahim, 47, selaku Orang Kena Saman (OKS)

Terdahulu, Mohamad Azlan membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan N. Priscilla.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh jatuh hukum ini.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Azlan didakwa menerusi aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Iman Mustaqim’, telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 28 Ogos lalu.

Hantaran itu dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada jam 11.57 pagi, 29 Ogos lalu.

Advertisements

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana perlu menjaga ibu yang sakit.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara kerana tertuduh telah menghina Institusi Diraja sedangkan ia kesalahan yang serius.

Sementara itu, dalam prosiding sama, tertuduh turut didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah, atas tuduhan gagal memberi kata laluan aplikasi Facebook miliknya, di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 11.25 pagi, 31 Ogos lalu.

Pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 242 akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan, jika gagal membayar denda itu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

70,000 penduduk luar bandar nikmati elektrik biogas Felcra

KIRA-KIRA 70,000 penduduk luar bandar atau 14,000 rumah bakal menikmati bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi menerusi janakuasa yang...

Lagi Artikel Berkaitan