27.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 24, 2023

MOSTI kaji pembangunan tapak pelancaran ke angkasa lepas

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) sedang membangunkan garis panduan kajian kebolehlaksanaan pembangunan tapak pelancaran ke angkasa lepas.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, Malaysia mempunya potensi yang besar untuk turut terlibat dalam pembangunan kemudahan pelancaran angkasa lepas (space launching facility).

Jika menjadi realiti katanya, kemudahan yang dibangunkan akan menjadi yang ke-16 di dunia dan akan meletakkan Malaysia menjadi negara kesembilan memiliki fasiliti tersebut.

“Keunikan geografi Malaysia yang terletak berhampiran garisan Khatulistiwa memberikan kelebihan kepada negara untuk membangunkan perkhidmatan fasiliti pelancar dengan kos operasi yang jauh lebih kompetitif.

“Setakat ini, Mysa sedang mengadakan sesi libat urus dengan beberapa pihak dan industri yang berminat untuk membangunkan kemudahan ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Lih Kang berkata, penglibatan kerajaan dalam industri tersebut dianggarkan akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi angkasa dengan nilai RM10 bilion menjelang 2030.

Katanya, Ia turut menyumbang pertumbuhan 500 syarikat pemula teknologi berkaitan angkasa, seterusnya mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan.

“MOSTI juga sedang merangka Program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN) menerusi strategi perkongsian awam dan swasta (Public Private Partnership) yang dijangka bermula pada 2026.

“Program ini adalah penting bagi memastikan kesinambungan pemilikan data-data strategik negara yang mana ia turut menyokong keberkesanan operasi 50 buah pakej sistem aplikasi yang telah dibangunkan Mysa,” jelasnya. – Edisi 9

Terkini

Kes bunuh: Polis buru dua suspek warga Sri Lanka

POLIS memburu dua suspek lelaki warga Sri Lanka kerana disyaki terlibat kes bunuh tiga warga senegara di sebuah rumah...

Lagi Artikel Berkaitan