ATAS sambutan yang begitu menggalakkan diterima pada tahun terdahulu, Pesta Kopi kini menjadi acara tahunan yang wajib diadakan sejak 2020.
Dianjurkan oleh Pesta Kopi Ventures, penganjuran kali ini turut mendapat kerjasama daripada Tourism Malaysia.
Dengan tema Miss SHOPhia GO Pesta Kopi Extended 2023, acara kali ini bakal diadakan selama 3 hari bermula 29 September sehingga 1 Oktober, bertempat di Pavilion Bukit Jalil.
Selain Tourism Malaysia sebagai Rakan Strategik Utama, program kali ini turut mendapat kerjasama Pavilion Bukit Jalil selaku Rakan Strategik Lokasi dan Mister Coffee selaku Rakan Strategik Acara.
Pengurus Besar Pesta Kopi Ventures Syahmi Pozi berkata, objektif utama penganjuranbukan sahaja untuk menyerlahkan kopi sebagai trend gaya hidup semasa, malahan memperlihatkan seni penyediaan kopi artisan sebagai salah satu peluang perniagaan yang kian menjadi pilihan ramai anak muda sekali gus mempromosikan industri kopi di Malaysia.
“Kita masih mengekalkan konsep asal Pesta Kopi seperti tahun terdahulu di mana penganjuran Miss SHOPhia Go Pesta Kopi Extended 2023 ini akan menghimpunkan 40 usahawan kopi dari Cameron Highlands, Johor Bahru, Kota Bharu, Melaka, Alor Setar, Selangor dan Kuala Lumpur yang bakal memperkenalkan produk serta menunjukkan cara dan seni penyediaan kopi masing-masing.
“Saya juga gembira dan teruja apabila Tourism Malaysia sudi menjadi rakan kerjasama dan dengan kerjasama Sabah Tourism Board dan Sarawak Tourism Board, mereka akan membawakan kopi khas dari Borneo bagi memperkenalkannya kepada pengunjung dari dalam dan luar negara yang hadir ke pesta itu nanti,” katanya pada sidang media pengumuman pesta berkenaan baru-baru ini.
Hadir sama Penolong Pengurus Besar Pemasaran, Pavilion Bukit Jalil, Stephanie Mak dan Pengarah, Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia Shahrin Mokhtar.
Sementara itu, Shahrin berkata, penganjuran pesta kopi ini diharap dapat merangsang kembali pemulihan industri pelancongan sekali gus membantu kepada pemulihan ekonomi negara secara keseluruhan.
“Selaku agensi yang bertanggungjawab mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan, kami mengambil inisitif program ini dalam mempromosikan industri pelancongan berasaskan kopi yang sedang berkembang pesat.
“Tourism Malaysia juga akan melancarkan pakej-pakej pelancongan berasaskan kopi dengan kerjasama pengusaha pelancongan yang diberi nama ‘Miss SHOPhia Coffee Experience’ yang juga kesinambungan kepada pakej ‘Northern Malaysia Coffee Experience’ yang telah dilancarkan pada tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, bagi membantu usahawan-usahawan kopi di Malaysia, Tourism Malaysia akan bekerjasama dengan penyedia laman sesawang “petakopi.my” dalam penyenaraian kedai kopi dan kafe yang terbabit menerusi kempen ini.
“Setakat ini, lebih 2,000 kedai kopi di seluruh Malaysia telah tersenarai di laman sesawang berkenaan dan Tourism Malaysia berharap dapat mempromosikan “coffee mapping” ini sehingga ke peringkat antarabangsa.
Sementara itu, pada acara Pesta Kopi yang akan berlangsung nanti, pelbagai produk kopi akan dijual, malahan mereka juga dapat melihat sendiri pelbagai cara penyediaan kopi termasuk peralatan-peralatan mampu milik yang digunakan serta boleh dipraktikkan sendiri di rumah.
Bukan itu sahaja, pengunjung turut berpeluang mendapatkan penerangan berkaitan cara memilih dan menilai biji kopi.
Selain itu, Pertandingan Barista Terpantas yang memasuki edisi kedua pada tahun ini, akan dianjurkan oleh Mister Coffee dan bakal disertai oleh pembuat kopi dari seluruh negara.
Cabaran penyediaan kopi ini menilai kebolehan peserta untuk menghasilkan kopi dengan cara yang betul mengikut kuantiti yang ditetapkan tanpa menjejaskan rasa dan isi setiap cawan.
Tahun lalu, pertandingan ini telah dimenangi oleh seorang pembuat kopi dari Kuching, Sarawak. -Edisi 9