SEBANYAK 21 pemain industri pelancongan menawarkan pelbagai pakej menarik sempena kempen Cuti-cuti Keluarga sempen Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK).
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk P. Manoharan berkata, kempen Cuti-cuti Keluarga itu diadakan sempena kehadiran November sebagai BKK yang majlis sambutannya akan diadakan di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur pada 9 dan 10 November.
“Sebagai sokongan kepada inisiatif ini, Tourism Malaysia telah menyenaraikan lebih daripada 44 produk dalam e-risalah ini dengan pakej percutian menarik untuk aktiviti keluarga serta bersesuaian bagi semua lapisan umur,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian sempena pelancaran e-risalah Cuti-cuti Keluarga sempena sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2024.
Beliau berkata, antara pemain industri yang mengambil bahagian ialah Sunway Lagoon, Gamuda Land, THE TOP Penang Theme Park, Ripley’s Adventureland, Jungle Gym Genting Highlands, Wet World Water Park Shah Alam, Combat Baze, SuperPark Malaysia, dan The BOMB Battle Kuala Lumpur.

“Ini termasuk 12 agensi pelancongan menawarkan pelbagai pakej percutian berbaloi, dengan pilihan penginapan menarik di Putrajaya dan Pahang, serta pengalaman glamping di Putrajaya dan Perak.
“Jumlah produk dan pemain industri pelancongan dijangka akan bertambah sepanjang bulan November,” katanya.
Manoharan berkata, pakej yang ditawarkan bermula serendah RM25 seorang untuk aktiviti memanah, sehinggalah kepada pakej 2 Hari 1 Malam (2H1M) bermula daripada RM240 seorang.
Ia merangkumi penginapan, makan tengahari di rumah kampung dan aktiviti menarik bagi ahli keluarga untuk pengalaman percutian yang penuh bermakna.
Beliau berkata, Tourism Malaysia komited menyokong sambutan BKK dengan menawarkan pelbagai pakej percutian yang sesuai untuk semua lapisan keluarga.
Katanya, Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh ikatan kekeluargaan tetapi juga memberi impak positif kepada industri pelancongan domestik.
“Melalui aktiviti dan pakej menarik yang ditawarkan, kami berharap setiap keluarga berpeluang mencipta memori indah bersama insan tersayang dan menyemarakkan semangat Cuti-Cuti Malaysia,” tambahnya.
Selaras dengan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), e-risalah Cuti-Cuti Keluarga ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia menikmati percutian berkualiti bersama keluarga, malah turut memainkan peranan penting bagi mencapai sasaran menarik 35.6 juta pelancong antarabangsa dan menjana RM147.1 bilion dalam pendapatan pelancongan.
Tempahan pakej yang ditawarkan boleh dibuat mulai 9 November 2024 di reruai Tourism Malaysia di Taman Botani Perdana atau terus kepada penyedia perkhidmatan sehingga 31 Disember 2024, dan pakej-pakej ini sah sehingga 30 Jun 2025 tertakluk kepada terma dan syarat. – Edisi 9

