30.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Muhammad Hafizuddeain Panglima Tentera Darat baharu

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

LEFTENAN Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dilantik sebagai Panglima Tentera Darat yang baharu berkuat-kuasa hari ini.

Perubahan tampuk kepimpinan Tentera Darat ekoran Panglimanya, Tan Sri Mohammad Ab. Rahman dijangka dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas PTD disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan di Wisma Pertahanan di ibu negara hari ini.

Muhammad Hafizuddeain, 55, yang dilahirkan di Segamat, Johor pada 18 April 1968, sebelum ini dilantik sebagai Timbalan PTD pada 23 Mac tahun ini. 

Mendapat pendidikan menengah dari Maktab Tentera Diraja pada 1985, Muhammad Hafizuddeain  memulakan khidmat pada 19 Ogos 1986 sebagai Pegawai Kadet sebelum ditauliahkan sebagai Lt Muda dalam kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dua tahun kemudian.

Advertisements

Bapa kepada tiga cahaya mata itu memiliki pengalaman yang cukup luas kerana telah memegang pelbagai jawatan penting di peringkat Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Kementerian Pertahanan (Mindef) sebagai pemerintah, staf dan jurulatih.

Sepanjang perkhidmatan, beliau juga menghadiri pelbagai kursus antaranya Diploma Sains Pengurusan di Institut Tadbiran Awam Negara, Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera, Sarjana Pengurusan di Filipina, Infantry Officer Advance Course di Amerika Syarikat dan Royal College of Defence Studies di United Kingdom.

Antara jawatan penting yang pernah disandang Muhammad Hafizuddeain ialah Pegawai Memerintah di Batalion Keempat RAMD (2003-2005), Panglima Briged Kelima Infantri Malaysia (2018-2020) dan Panglima Medan Barat Tentera Darat (2021-2023).

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Staf di Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (2009-2010), Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Dasar MINDEF (2014-2016) dan Ketua Staf di Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (2016-2017). – BERNAMA

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan