MALAYSIA disahkan bebas daripada wabak Penyakit Kuda Afrika (AHS) sejak kejadian kes tersebut dikesan di negara ini pada Ogos 2020.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berkata, melalui sepucuk surat yang diterim daripada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH), Malaysia bebas daripada wabak tersebut sejak 15 September lalu.
DVS berkata, Malaysia telah memenuhi syarat yang ditentukan oleh badan itu menerusi Resolusi No. 15 bagi mendapatkan semula status bebas AHS yang digantung sejak kes pertama tersebut.
“Dalam memastikan status bebas ini dapat dikekalkan, DVS akan terus menjalankan ujian makmal bagi keperluan survelan AHS berdasarkan Article 12.1.5 Terrestrial Animal Health Code.
“DVS ingin menegaskan, Jabatan ini sentiasa komited dalam memastikan haiwan dan ternakan di dalam negara bebas dari sebarang ancaman penyakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
AHS adalah sejenis penyakit yang menjangkiti semua haiwan ekuids seperti kuda, keldai, zebra dan mule disebabkan oleh virus dari genus Orbivirus, famili Reoviridae.
Penyakit ini merupakan penyakit bawaan vektor serangga Culicoides sp. atau agas dan berupaya mengakibatkan gejala yang serius dengan kadar kematian sehingga mencecah 95 peratus sekiranya berlaku pada kuda.
Malaysia sebelum ini telah diisytihar sebagai negara bebas AHS sejak tahun 2013.
Bagaimanapun, pada 27 Ogos 2020, DVS melalui Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), Perak telah mengesan RNA virus AHS melalui ujian yang dijalankan ke atas sampel empat ekor kuda di Kuala Terengganu. – Edisi 9