TINDAKAN pantas seorang kanak-kanak berusia tiga tahun mengejutkan enam ahli keluarganya yang tidur nyenyak, telah menyelamatkan keluarganya daripada terperangkap dalam kejadian kebakaran yang berlaku di sebuah rumah di Bandar Sri Coafields pada awal pagi tadi.
Difahamkan, kanak-kanak berkenaan terjaga dari tidur apabila menyedari rumah teres dua tingkat berkenaan terbakar.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.35 pagi.
Menurut beliau, seramai lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dengan bantuan BBP Sungai Buloh dikejarkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pihak bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat.
“Sebuah bilik yang berkeluasan 10×12 kaki persegi terbakar 50 peratus,”katanya dalam menerusi kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, semasa kejadian seramai tujuh termasuk kanak-kanak berusia tiga tahun berada dalam rumah berkenaan.
“Semasa kejadian, bilik itu menempatkan sebuah katil, namun tiada penghuni di dalamnya,”katanya.
Katanya, pihak bomba kemudiannya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadamkan api yang marak dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Bomba masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian serta anggaran kerugian,”katanya. – Edisi 9