27.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Judi online: 153 individu ditahan dalam Op Dadu Khas

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS telah menahan seramai 153 individu dalam 136 serbuan menerusi Op Dadu Khas yang dijalankan ke atas premis yang disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian dan loteri awam di Johor bermula Jumaat lepas hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua yang ditahan berusia 18 hingga 66 tahun terdiri daripada 125 lelaki dan 28 perempuan.

“Daripada jumlah tersebut,115 daripadanya adalah lelaki warga tempatan manakala 10 lagi adalah warga asing. Seramai 19 wanita warga tempatan ditahan dan sembilan lagi adalah wanita warga asing.

“Dalam tempoh tersebut, kita juga telah merampas 163 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 61 pencetak mudah alih serta wang tunai berjumlah RM32,699,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi Op yang sama, menurut beliau, semalam sahaja, polis telah membuat pemeriksaan ke atas 57 buah premis dan telah menahan seramai 59 orang.

“Daripada jumlah itu, 44 tangkapan adalah lelaki warga tempatan, seorang warganegara asing, dan 12 wanita warga tempatan serta dua wanita warga asing yang kesemuanya berusia lingkungan 18 hingga 65 tahun.

Advertisements

“Turut dirampas 61 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 31 buah mobile printer dan wang tunai berjumlah RM17,301,”katanya.

Katanya, kesemua tangkapan telah dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman sebagaimana  diperuntukan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Berikutan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 4A (a) dan 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjaga atau mengurus atau membantu tempat perjudian terbuka dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM 50,000 dan penjara tidak lebih tiga tahun.

“Sebanyak dua kertas siasatan telah dituduh di bawah Seksyen 7 ARJT 1953 manakala enam kertas siasatan telah dituduh di bawah Seksyen 9(1) ARJT 1953.

Beliau berkata, premis yang terlibat sedang dalam proses permohonan pembatalan lesen dan pemotongan bekalan elektrik namun masih menunggu kelulusan dari pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Dalam pada itu, Kamarul Zaman turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan judi dalam talian kepada balai polis berhampiran atau bilik gerakan polis Johor di talian 07-2212999 atau 07-2254677. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan