31.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

Indonesia pertimbang ikut langkah India, AS haramkan TikTok Shop

Mesti Baca

PEMERINTAH Indonesia bersedia untuk mengikut jejak langkah India dan Amerika Syarikat (AS) bagi melarang wadah media sosial TikTok daripada terbabit dalam kegiatan e-dagang, TikTok Shop di negara itu.

Ia berdasarkan kebimbangan mengenai potensi monopoli perniagaan, kata seorang pegawai kanan.

Menteri Koperasi serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), Teten Masduki dalam satu kenyataan berkata, TikTok mempunyai sistem pembayaran digital dan sokongan logistiknya sendiri.

“Ini membenarkannya menjalankan operasi e-dagang yang boleh menjejas perniagaan tempatan kita.

“India dan AS telah melarang TikTok daripada mengendalikan media sosial dan perniagaan e-dagangnya secara serentak, manakala di Indonesia, TikTok kini bebas melakukan kedua-duanya,” katanya.

Menteri itu memetik penyelidikan yang membentangkan bahawa TikTok telah menyepadukan ciri membeli-belah dalam talian yang memberi kesan kepada interaksi media sosial.

Walaupun TikTok masih dibenarkan untuk menjalankan wadah dagangan, ia tidak boleh digabungkan dengan aplikasi perkongsian video popularnya, yang mempunyai berpuluh juta pengguna di Indonesia.

Menurut Teten, pangkalan pengguna yang luas dan sistem mengesyorkan algoritma akan memberikan TikTok kelebihan yang tidak adil.

Advertisements

“Mereka mempunyai sistem pembayaran dan sokongan logistik mereka sendiri. Ini sesuai dengan amalan perniagaan monopoli,” tegasnya.

Atas alasan yang sama, Teten menggesa wadah dagangan dalam talian di Indonesia supaya mengelak daripada menjual produk mereka sendiri atau syarikat gabungan untuk mengelakkan tingkah laku monopoli.

Baru-baru ini, New York mengharamkan TikTok pada peranti milik pemerintah atas alasan kebimbangan keselamatan, sama seperti langkah sekatan yang diambil oleh beberapa bandar dan wilayah lain di AS.

TikTok adalah aplikasi perkongsian video pendek yang digunakan oleh lebih 150 juta rakyat AS dan dimiliki oleh gergasi teknologi China, ByteDance.

Terkini, ia berdepan dengan peningkatan desakan daripada penggubal undang-undang seluruh AS supaya mengharamkan media sosial itu atas kebimbangan mengenai kemungkinan pengaruh pemerintah China.

TikTok ‘menimbulkan ancaman keselamatan kepada rangkaian teknikal bandar ini’, kata Datuk Bandar New York, Eric Adams, dalam satu kenyataan.

Memetik laporan media tempatan, pengharaman di India dibuat selepas Kementerian Teknologi Maklumat India menerima aduan daripada pelbagai pihak mengenai aplikasi yang didakwa mengambil data secara tidak sah. -Agensi

Advertisements

Terkini

Khaled jawab isu syarikat bekal senjata Israel sertai DSA/NATSEC

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjawab isu penglibatan syarikat pertahanan global tertentu yang didakwa pembekal senjata untuk...

Lagi Artikel Berkaitan