31.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Falah, angkat kisah kanak-kanak buta redha pada takdir

Ditayangkan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2023

Mesti Baca

MENGANGKAT tema Pelan Al Falah dan Malaysia Madani pada sambutan Maulidurrasul Peringkat Kebangsaan 2023, TV Alhijrah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan sebuah filem pendek berbentuk kapsul berdurasi 5 minit berjudul Falah.

Penerbit TV Alhijrah, Syafinah Othman berkata, projek kapsul khas sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan ini bukanlah kerjasama kali pertama bersama Jakim.

“Alhamdulillah beberapa judul sebelum ini berjaya memberi impak tersendiri kepada penonton, terutama apabila ditayangkan pada acara tahunan itu.

“Tahun lalu, ia berjaya menyentuh emosi tetamu, malah KDYMM Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang hadir pada acara itu turut menitiskan air mata,” kata Syafinah.

Sehubungan itu, dia berharap judul Falah pada tahun ini memberi impak serupa kepada tetamu yang hadir pada acara yang bakal berlangsung pada 28 September ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan apabila ditayangkan di saluran RTM dan TV Alhijrah nanti.

Dalam pada itu, pengarah dan penulis skrip Falah, Amirul Haswendy Ashari berkata, kisah Falah terhasil daripada pengalaman lalu ketika terbabit dalam kerja-kerja kebajikan bersama golongan kurang upaya.

“Apabila diberi tanggung jawab oleh TV Alhijrah dan JAKIM untuk menghasilkan Falah, saya terus terimbau pengalaman ketika bersama-sama golongan kurang upaya.

“Golongan ini banyak membuka mata saya untuk mensyukuri setiap ujian dan dugaan. Terutama kefahaman kita untuk menerima ujian dan dugaan itu sebagai rahmat, bukan musibah,” katanya.

Bercakap mengenai cabaran menghasilkan Falah, Amirul berkata, tempoh masa menyiapkan karya ini yang agak singkat.

Advertisements

Katanya, dia diberi masa selama 3 hari sahaja untuk menyiapkan proses penggambaran dan 3 hari untuk proses suntingan.

Kemudian, Falah perlu dipersembahkan kepada ahli jawatan kuasa acara dari TV Alhijrah dan JAKIM untuk penilaian akhir sebelum dipertontonkan kepada umum.

“Saya bekerja dengan pasukan produksi TV Alhijrah yang mantap dan berpengalaman, ia membuatkan pembikinan Falah sangat mudah.

“Antaranya bersama pengarah fotografi (DOP) berpengalaman luas sebagai DOP drama dan filem, Mohd Noordin yang banyak membantu di segi sinematografi.

“Alhamdulillah, tidak banyak isu yang perlu diperbaiki. Saya harap apabila ditayangkan nanti, Falah memberi impak tersendiri kepada masyarakat,” katanya.

Antara pelakon yang menjayakan Falah ialah Amar Baharin dan isterinya, Amyra Rosli. Manakala watak Falah dibawa oleh pelakon cilik yang sedang meningkat naik, Aiman Badrul.

Selain itu, Johan Qari Tilawah Al Quran Peringkat Antarabangsa 2023, Muhammad Qayyim Nizar turut muncul sebagai penampilan khas.

Falah mengangkat kisah seorang kanak-kanak yang mempunyai masa depan cerah diuji dengan penyakit Retinitis Pigmentosa, sejenis penyakit jarang jumpa yang berpunca daripada faktor genetik dan kerosakan retina yang akhirnya menyebabkan pesakit menjadi buta sepenuhnya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan