DEWAN Ulamak Pas Pusat (DUPP) mendesak Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee memohon maaf atas tindakan tidak bertanggungjawab mengeluarkan pandangan menyeleweng dan tidak tepat terhadap tafsiran ayat al-Quran.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, walaupun secara asasnya tidaklah menjadi kesalahan kepada golongan bukan Islam menghayati ayat Quran, namun, tidak harus bagi mereka memberikan tafsiran secara longgar dan semberono.
Beliau turut mempersoal mengapa kenyataan ahli Parlimen itu tidak tergolong dalam kesalahan 3R (agama, bangsa dan institusi diraja).
“DUPP juga tertanya-tanya apakah di sana tidak terdapat dalam kalangan agamawan Pakatan Harapan (PH) yang bersedia memberikan teguran terhadap Howard Lee?
“Apakah prinsip sebenar PH terhadap isu-isu sebegini sehingga membiarkan perkara teras sebegini masih tidak diselesaikan secara tuntas,” soalnya menerusi kenyataan hari ini.
Ahmad berkata, situasi itu jelas menunjukkan DAP begitu menguasai PH sehingga kaki dan tangan pihak lain ibarat diikat rapi meskipun menyentuh secara langsung berkaitan agama Islam.
“DUPP ingin sekali lagi menyatakan ketegasan supaya Howard Lee memohon maaf di atas keceluparan beliau tempoh hari.
“Tindakan tersebut boleh dianggap melakukan penghinaan terhadap ajaran agama,” katanya. – Edisi 9