KELAB Arab Saudi semakin rakus memancing bintang ternama Eropah untuk beraksi di Liga Pro Saudi apabila Al-Ittihad bersedia memecah rekod perpindahan dunia bagi membawa Mohamed Salah ke Jeddah.
Selepas bidaan pertama sebanyak RM881.8 juta ditolak, Al-Ittihad yang dibimbing bekas pengendali Wolverhampton Wanderers, Nuno Espirito Santo kembali dengan tawaran lebih besar.
Liverpool dilapor telah ditawarkan yuran perpindahan sebanyak RM1.26 bilion hari ini bagi membenarkan bintang Mesir itu berhijrah ke Asia Barat.
Ini selepas delegasi dari Arab Saudi itu tiba di kota London Sabtu lalu sebagai usaha mendapatkan Salah sebagai rekrut terakhir sebelum jendela perpindahan ditutup, Khamis ini.
Salah turut ditawarkan gaji sebanyak RM14.4 juta seminggu dengan tambahan lain-lain insentif bagi memujuknya meninggalkan Anfield.
Turut ditawarkan adalah sebahagian daripada keuntungan jualan jersi, RM323,000 bagi setiap kemenangan dan menjadi duta kepada tiga syarikat utama di Arab Saudi.
Jawatan duta tersebut sahaja akan memberikan Salah pendapatan bersih sebanyak RM105.8 juta kerana setiap syarikat berkenaan bersedia membayarnya RM35.27 juta.
Sementara itu, pengurus The Reds, Jurgen Klopp memnberikan mesej bahawa penyerang itu gembira di Anfield dan tidak akan sesekali dijual. – Edisi 9