KRENOVATOR Technology Sdn. Bhd. melancarkan AI Career Profile untuk pembangun perisian di semua peringkat kemahiran yang mencari pekerjaan secara jarak jauh atau remote work, di dalam platformnya.
Menerusi kenyataan Krenovator berkata, ia boleh digunakan secara percuma dan menggabungkan tiga elemen utama seperti ringkasan latar belakang pencari kerja, penilaian kesihatan mental dan psychological capital (Psycap) mereka ke dalam satu profil sahaja.
“Profil jenis baharu ini memenuhi jurang yang ada dalam kebanyakan resume dengan memberikan gambaran yang lebih holistik seseorang pencari kerja.
“Ia menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan ringkasan latar belakang setiap pencari kerja secara automatik berdasarkan data yang mereka serahkan seperti butiran peribadi, pengalaman kerja, set kemahiran, dan projek teknikal,” katanya.
Krenovator pula akan berkongsi profil pencari kerja itu dengan majikan jika ia sepadan dengan keperluan majikan, untuk dipertimbangkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Krenovator, Mahadhir Yunus berkata, pihaknya sedar ada banyak cabaran dihadapi oleh pencari kerja dan majikan.
“AI Career Profile kami menawarkan pembangun perisian satu pendekatan atau cara lebih baik untuk mudah mereka mendapat perhatian sambil memberikan majikan informasi berguna mengenai kesesuaian setiap calon kerja jarak jauh.
“Ringkasan yang disertakan dalam setiap profil sangat berguna untuk bantu tingkatkan kecekapan staf yang bertanggungjawab meneliti setiap permohonan lebih-lebih lagi bila berdepan dengan jumlah calon yang ramai,” jelasnya.
Mengulas mengenai penggabungan info keseluruhan kesihatan mental dan penilaian Psycap dalam satu dokumen permohonan pekerjaan, Mahadhir berkata, ia memberi manfaat kepada majikan.
“Mereka boleh pilih calon yang sesuai dengan keperluan jawatan dan yang sejajar dengan budaya syarikat, dengan lebih cekap,” katanya. – Edisi 9