27.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

UMNO penentu kedudukan kuasa Melayu

Mesti Baca

KEPUTUSAN pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu, jelas memperlihatkan peluang untuk memposisikan semula kuasa Melayu-Islam di negara ini terbuka luas.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, pengundi Melayu dan sebahagian pengundi bukan Melayu memberi isyarat jelas penolakan terhadap kerajaan Persekutuan ketika ini. 

“UMNO kini boleh menjadi ‘king maker’ dan menentukan kedudukan kuasa Melayu atau sebaliknya. 

“PAS Pahang menyeru pimpinan UMNO di negeri yang mampu memposisikan kuasa dan kedaulatan Melayu-Islam menyambut gelombang dan isyarat rakyat ini. 

“Suara akar umbi UMNO yang menyeru parti itu kembali ke landasan asal perjuangan Melayu jelas kelihatan hasil keputusan PRN. 

“PAS Pahang mengharapkan penyatuan ummah ditegakkan demi kestabilan negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan media.

Rosli juga memberi contoh situasi di Negeri Sembilan selepas PRN Sabtu lalu. 

Katanya, jumlah kerusi dewan undangan negeri (DUN) dimenangi gabungan Pakatan Harapan – Barisan Nasional (PH-BN) dan Perikatan Nasional (PN) hampir sama dengan situasi di Pahang selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15). 

“Kedudukan kerusi di Negeri Sembilan mempunyai persamaan dengan komposisi di Pahang, kedua negeri boleh memposisikan kuasa Melayu-Islam. 

Advertisements

“Kedudukan sama juga boleh dilakukan di Pahang, malah di peringkat nasional jika diterjemahkan kesungguhan itu,” katanya lagi. 

Terdahulu, PRN Sabtu lalu, PN Negeri Sembilan memenangi lima kerusi DUN iaitu Gemas, Serting, Labu, Bagan Pinang dan Paroi.

Gabungan PH-BN pula memperoleh 31 kerusi melalui BN (14), DAP (11), PKR (lima) dan Amanah satu kerusi (DUN Klawang).

Manakala keputusan PRU15 di Pahang menyaksikan UMNO mendapat 18 kerusi, PN memperoleh 17 kerusi DUN dan PH lapan. 

Kerajaan Pahang hanya dapat ditubuhkan selepas PH mengumumkan menyokong UMNO bagi membentuk Kerajaan Perpaduan seperti di peringkat Pusat. 

Sementara itu, Rosli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Lumpur berharap pimpinan PN peringkat Pusat dan negeri boleh melihat isu itu dengan tuntas demi kebaikan masa depan ummah dan negara. 

“Pemimpin sewajarnya menyambut dengan hati terbuka dan merealisasikan impian rakyat. 

“PAS Pahang sedia menghulurkan tangan perpaduan dan penyatuan demi menyambut impian dan keinginan rakyat,” katanya.

Rosli berkata, walaupun mengakui usaha itu sukar untuk dilaksanakan, namun pemimpin perlu berkorban demi kesejahteraan rakyat, negeri dan negara.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Peranan, tanggungjawab Maritim Malaysia diiktiraf dunia

PERANAN serta tanggungjawab Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah diterima dengan baik dan diiktiraf dunia. Ini dibuktikan apabila Maritim...

Lagi Artikel Berkaitan