31.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Tourism Malaysia lancar misi jualan ke Indonesia

Turut kempen MotoGP Sepang 2023

Mesti Baca

TOURISM Malaysia hari ini melancarkan misi jualan ke Indonesia secara rasmi dengan menjelajah ke tiga bandar utama di negara itu.

Tiga bandar itu ialah Jakarta, Medan dan Balikpapan dalam usaha meningkatkan promosi produk dan pakej pelancongan terkini dengan mempertemukan pemain industri pelancongan Malaysia dan Indonesia dalam sesi perniagaan ke perniagaan (B2B).

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar, menyifatkan misi jualan terbabit amat signifikan dan menyatakan bahawa Indonesia kekal sebagai salah sebuah pasaran yang penting untuk sektor pelancongan di Malaysia.

Justeru, pihaknya mengharapkan kemudahsampaian dan kapasiti penerbangan antara kedua-dua negara dapat dipertingkatkan.

“Pada tahun 2022, Malaysia mencatatkan ketibaan sebanyak 1.481 juta pelancong dari Indonesia dan angka berkenaan adalah yang kedua tertinggi selepas Singapura.

“Kedudukan ini dilihat terus konsisten dengan ketibaan 704,147 pelancong Indonesia yang direkodkan pada suku pertama tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bermula 30 Julai sehingga 5 Ogos 2023, Tourism Malaysia akan memulakan misi jualan dengan kerjasama Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan turut disertai Sarawak Tourism Board, Malaysia Healthcare

Advertisements

Travel Council (MHTC), Sepang International Circuit (SIC), wakil syarikat Malaysia My Second Home (MM2H), Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia, 15 syarikat pelancongan, tiga pengusaha produk dan enam pengusaha hotel serta syarikat penerbangan Batik Air.

Misi jualan ke Jakarta menyaksikan pelancaran Kempen MotoGP Sepang menerusi penjualan pakej pelancongan bagi menonton aksi sukan pemotoran terbabit di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hasil kolaborasi Tourism Malaysia bersama ejen TX Travel.

Penjualan pakej terbabit juga boleh didapati di kesemua cawangan kedai serbaneka Indomaret termasuk secara dalam talian menerusi portal Blibli.com.

Harga pakej MotoGP Sepang yang ditawarkan bermula RM1,717 (IDR5,900,000) untuk tempoh perjalanan selama dua hari satu malam (2H1M) atau RM2,328 (IDR7,200,000) untuk 4H3M.

Tahun lalu, TX Travel yang juga rakan kerjasama Tourism Malaysia sejak 2018, berjaya menjual 1,500 pakej pelancongan sukan permotoran itu kepada peminat Indonesia.

Selain sesi B2B, pengisian misi jualan ke Indonesia antara lain membabitkan penganjuran program networking termasuk majlis makan malam yang turut dihadiri oleh tetamu kehormat dari wakil pemerintah dan persatuan pelancongan Indonesia seperti Asiosasi Travel Agen Indonesia (ASTINDO), Asiosasi Perusahaan Perjalanan Wisata Indonesia (ASITA) serta Asiosasi Pelaku Pariwisata Indonesia (ASPPI).

Misi jualan pelancongan ke Indonesia bermula di Balikpapan sebelum delegasi Malaysia bertolak ke Jakarta dan disusuli dengan pertemuan bersama penggiat industri di Medan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan