NAPOLI memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Serie A dengan nota kemenangan selepas menewaskan Frosinone 3-1 di Stadio Benito Stirpe, awal pagi tadi.
Anak buah Rudi Garcia itu bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan awal pasukan yang baharu dipromosi itu pada minit ketujuh menerusi sepakan penalti Abdou Harroui.
Kelebihan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Matteo Politano melepaskan satu rembatan kencang dari luar kawasan penalti untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-24.
Penjaring terbanyak Serie A musim lalu, Viktor Osimhen membuktikan ketajaman penyudahnya apabila menyudahkan hantaran Giovanni Di Lorenzo pada minit ke-42.
Penyerang kebangsaan Nigeria itu memastikan tiga mata penuh milik Napoli selepas meledak gol ketiga pelawat pada minit ke-79.

Dalam satu lagi aksi di Stadium San Siro, Inter Milan turut mengutip tiga mata penuh selepas mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas Monza.
Kapten, Lautaro Martinez meletakkan Nerazzurri seawal minit kelapan apabila tenang menyudahkan hantaran silang Denzel Dumfries.
Penyerang kebangsaan Argentina itu menggandakan jaringan Inter apabila menolak masuk hantaran Marko Arnautovic pada minit ke-76 untuk memastikan kemenangan buat skuad kendalian Simone Inzaghi itu. – Edisi 9

