POLIS Selangor mengesahkan hanya 10 mangsa terlibat dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Bandar Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, ini selepas proses padanan kesemua spesimen cebisan anggota badan yang ditemukan di lokasi nahas padan dengan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dengan waris dan telah selesai dilakukan.
“Kesemua jenazah mangsa yang terlibat dalam nahas telah dikenal pasti dan sedia untuk diserahkan kepada wakil keluarga pada pagi ini.
“Ia dikenal pasti menerusi beberapa padanan seperti bukti DNA dan odontologi termasuk gigi. Polis dan pihak hospital mengesahkan hanya 10 individu terlibat dalam nahas ini,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.
Katanya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengendalikan kesemua urusan berkaitan jenazah terbabit sehingga selesai.
Menurutnya, jenazah akan diuruskan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah berdekatan HTAR.
Dalam pada itu beliau memberitahu, setakat ini tiga pemilik rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan yang melalui kawasan nahas sudah tampil memberi keterangan.
Hussein bagaimanapun mengakui proses mengenal pasti jenazah sukar dijalankan, namun ia dapat diselesaikan sehari lebih awal berbanding jangkaan sebenar.
“Semua proses itu dipermudahkan. Kita jangka selesai pada Isnin, namun dapat diselesaikan malam tadi. Dan pagi ini kita dapat serahkan (kepada keluarga) kesemua mangsa ini,” jelasnya.
Ujar beliau lagi, pihaknya perlu berada di lokasi kejadian untuk tiga hari bagi mengumpul sepenuhnya bukti. – Edisi 9