SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) membuka Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mei Tahun 2023 (DPT BLN5/2023) untuk semakan selama 30 hari bermula hari ini hingga 14 September depan.
Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, daftar pemilih itu diperakukan semalam dan diwartakan pada hari ini.
Katanya, SPR menyediakan lima kaedah semakan seperti di portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri (http://ppn.spr.gov.my); aplikasi dalam talian (https://myspr.spr.gov.my); aplikasi mudah alih MySPR Semak; atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.
“SPR menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Mei 2023 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN5/2023.
“Sekiranya mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN5/2023, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
DPT BLN5/2023 mengandungi 41,289 nama warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Mei hingga 31 Mei lalu yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
Selain itu, ia turut mengandungi seramai 12,183 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 3,005 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi.
Beliau berkata, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.
“Borang tersebut hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN5/2023,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN5/2023 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi atau menghubungi SPR di talian 03-8892 7218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.- Edisi 9