32.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 18, 2024

Selepas viral di Sing! China 2023, Vanessa tampil single Igau

Mesti Baca

NAMANYA terus hangat diperkatakan dalam komuniti siber atas kejayaan ke peringkat seterusnya untuk program ‘Sing! China 2023’ di Shanghai.

Dalam program itu Vanessa Reynauld juga telah berjaya memenangi hati ke empat-empat mentor yang terkenal di China.

Selepas viral dengan kisah itu kini Vanessa, 23, telah mengeluarkan single terbaharu berjudul Igau.

Lagu ini telah mendapat sentuhan istimewa daripada penyanyi dan pengubah lagu iaitu Naqiu. 

Vanessa berkata, lagu ciptaan Naqiu itu mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri untuk dirinya.

Manakan tidak, ia diciptakan khas untuk Vanessa dengan mengambil kira aspek kesesuaian vokal yang sangat unik dan luar biasa.

Selain itu, Vanessa dan Naqiu pernah mempunyai lagu duet bersama iaitu Rindu Separuh Nyawa sebagai runut bunyi rasmi untuk drama 2021 dan pencapaian lagu itu telah memperoleh dua kali Anugerah Platinum daripada hasil jualan strim digital di seluruh negara.

“Saya sangat teruja melancarkan single ini apabila dapat tahu lagu ini diciptakan khas untuk saya.

“Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan Naqiu, kami berduet menerusi lagu Rindu Separuh Nyawa yang dijadikan sebagai runut bunyi rasmi untuk drama tempatan.

“Sejak itu, Naqiu merasakan saya mampu menyampaikan lagu yang ‘power vocal’ dan menonjolkan lagi kebolehan vokal saya sehinggalah dia membuat keputusan untuk ciptakan lagu Igau.

“Saya amat menyukai karya Igau kerana Naqiu benar-benar menstrukturkan lagu ini mengikut kesesuaian suara saya,” katanya.

Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik 23 (AIM 23) itu berkata, konsep lagu Igau masih mengetengahkan genre balada rock dan kisah cinta. Namun jalan ceritanya berbeza berbanding lagunya sebelum ini.

“Saya sangat teruja dengan konsep kali ini, kerana ia menekankan elemen lagu cinta dan jiwang.

Advertisements

“Selain itu, lagu ini mempunyai cabaran dalam menyampaikan vokal kerana ia mempunyai perbezaan berbanding lagu saya sebelum ini.

“Tetapi saya yakin, genre lagu seperti ini sangat dekat dengan citarasa pendengar,” katanya.

Igau mengisahkan seorang wanita yang mendambakan seorang kekasih atau pasangan yang mampu memberikan kasih sayang dan kebahagian buat selamanya.

Bagi yang masih bujang atau belum pernah bercinta, lagu ini sesuai untuk mereka kerana ia mengisahkan tentang seseorang yang mengimpikan kekasih yang boleh dijadikan pasangan hidup dan melengkapi antara satu sama yang lain.

“Saya sendiri sebelum ini pun tidak pernah mempunyai pasangan bercinta dan Naqiu pun tahu perkara ini.

“Ini memberikan sedikit cabaran buat saya kerana sukar untuk kaitkan kisah cinta dalam lagu dengan diri sendiri.

“Naqiu ciptakan naskah ini yang boleh dikaitan dengan saya supaya proses rakaman untuk menjiwai dan mendalami makna baris dalam lagu ini berjalan dengan lancar.

“Sebenarnya lagu ini boleh ditafsirkan mengikut perspektif perempuan mahupun lelaki kerana kita semua adalah manusia yang mempunyai perasaan dan fitrah kehidupan yang mahukan pasangan yang boleh melengkapi antara satu sama lain.

“Kadang kala kita mahukan pasangan yang terlalu sempurna sehingga kita lupa kebahagian terletak pada kesesuaian pasangan itu sendiri bukan pada kesempurnaan semata-mata dan ini adalah prinsip yang saya terapkan dalam diri untuk berimaginasikan dalam menyampaikan lagu ini,” katanya lagi. 

Dalam pada itu, Vanessa berkata, lagu Igau sebenarnya sudah dihasilkan sekitar setahun lalu dan lagu ini memerlukan persiapan yang rapi agar ia dapat diterima oleh semua orang.

“Lagu ini telah siap hampir setahun tetapi saya mengambil masa untuk mengeluarkannya kerana saya dan syarikat rakaman mempunyai perancangan dan membuat persiapan yang rapi agar lagu ini dapat dijayakan dengan sempurna.

“Antara persiapan yang dilakukan antaranya saya berlatih menyanyikannya terlebih dahulu dan membuat beberapa perubahan bagi mencantikkan lagi struktur ayat dan sebutan dalam lirik supaya sedap bila dinyanyikan,” katanya.

Vanessa berharap produk terbaharunya ini mendapat sambutan daripada peminat di semua platform baik digital mahupun tradisional.

“Semoga melodi lagu Igau boleh melekat dan menghantui pendengar di luar sana,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sindiket seludup PATI Bangladesh tumpas, lapan ditahan

JABATAN Imgresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia dan menahan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan...

Lagi Artikel Berkaitan