GABUNGAN Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) hari ini menawarkan 70 inisiatif di bawah 10 teras utama dalam manifestonya untuk rakyat Negeri Sembilan (NS) sekiranya mereka diberi peluang mentadbir sekali lagi.
Sepuluh teras utama itu antaranya adalah membabitkan pendidikan dan modal insan, kesejahteraan rakyat serta pertanian di samping tanah serta perumahan.
Selain itu, teras lain mencakupi, ekonomi, pelaburan dan infrastruktur; belia, wanita, keluarga, sukan dan keusahawanan; pertanian; pelancongan dan alam sekitar; agama, adat budaya dan masyarakat orang asli; perkhidmatan awam dan FELDA.
Manifesto yang dikenali sebagai Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan itu diumumkan oleh Pengerusi PH NS, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Katanya, antara inisiatif yang ditawarkan kepada rakyat adalah bantuan perkahwinan RM500 kepada setiap seorang anak negeri yang mendirikan rumah tangga untuk kali pertama.
Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, caruman skim simpanan pendidikan nasional sebanyak RM100 bagi kelahiran anak-anak Negeri Sembilan bermula tahun 2023-2027 akan turut disalurkan.
“Selain itu, bantuan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh sebanyak RM300 buat pelajar sekolah,”katanya.
Aminuddin berkata, antara tawaran lain adalah pemberian sumbangan keceriaan tahunan sebanyak RM200 kepada ibu tunggal berpendapatan RM2,000 kebawah.
“Kita juga akan memberi sumbangan keceriaan tahunan sebanyak RM200 kepada warga emas 70 tahun ke atas.
Di samping itu, katanya lagi, bantuan Food Bank untuk keluarga termiskin di dalam sistem e-kasih turut akan disalurkan.
Selain 70 inisiatif di dalam 10 Teras Utama ini, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan Negeri Sembilan juga menawarkan Skim Sejahtera Rakyat yang akan diuruskan dan disampaikan melalui Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri.
Skim Sejahtera rakyat ini adalah mencakupi kehidupan rakyat sejak daripada awal kelahiran sehinggalah menjejak ke usia warga emas.
Dalam lima tekad Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan tersebut ia meliputi Membangun Negeri Sembilan moden 2023-2033; Mendaya Upaya ekonomi rakyat dalam meningkatkan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat; Pembangunan mesra rakyat : Melestarikan Pembangunan seimbang luar bandar dan bandar; Memberi tumpuan kepada kebajikan, keperluan dan
permasalahan rakyat dan Pentadbiran berintegriti dan memperkasa penyampaian perkhidmatan. – Edisi 9

