26.2 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Kerajaan umum pakej talian pascabayar penjawat awam esok

Mesti Baca

KERAJAAN akan mengumumkan pakej talian pascabayar khusus untuk penjawat awam esok, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, pakej istimewa itu ditawarkan ekoran rungutan yang diterima daripada petugas barisan hadapan di lapangan berkaitan harga langganan talian pascabayar ketika ini.

“Insya-Allah esok ada sedikit pengumuman khusus untuk penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Merdeka@Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil di Balai Raya Taman Desa Jenderam Hilir di sini, hari ini.

Bagi petugas media pula, Fahmi berkata, perbincangan mengenai pakej talian pascabayar akan dibuat dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) esok dan keputusannya akan diumumkan pada masa akan datang.

“Insya-Allah saya akan bangkitkan (untuk petugas media), kita tengok sama ada mereka (telco) setuju atau tidak,” katanya sambil menambah banyak lagi pengumuman baik akan dibuat melalui usaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Advertisements

Fahmi berkata, usaha KKD tidak akan terhenti dalam mengurangkan beban pengguna talian perkhidmatan telekomunikasi malah akan dipergiatkan setiap masa bagi memastikan segenap lapisan masyarakat menikmati kualiti perkhidmatan yang lebih baik pada kadar harga yang berpatutan.

“Insya-Allah selepas kita melaksanakan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP), harga Internet akan berkurangan,” katanya.

Terdahulu,  31 Julai lalu, Fahmi dilaporkan berkata, harga Internet dijangka lebih murah menjelang September ini apabila MSAP diguna pakai.

Pada 11 Julai lalu pula, MCMC berkata, pengurangan harga runcit bagi perkhidmatan jalur lebar tetap berdasarkan MSAP hanya boleh dilaksanakan selepas perjanjian akses dimeterai antara pembekal perkhidmatan.

MCMC memaklumkan buat masa ini, kebanyakan pembekal akses telah atau sedang dalam proses penerbitan Tawaran Akses Rujukan (RAO). – Bernama

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan